Sembilan individu dikompaun beri makan merpati

GEORGE TOWN - Sembilan individu dikenakan kompaun selepas didapati sengaja memberi makan burung merpati di kawasan awam dalam operasi penguatkuasaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Jalan Perak, di sini pada Rabu.
MBPP dalam kenyataannya memaklumkan tindakan tegas itu diambil selepas beberapa siri hebahan serta program pendidikan awam dilaksanakan.
Bagaimanapun, menurut MBPP, masih ada segelintir individu yang mengabaikan nasihat dan terus membuang sisa makanan bagi memberi makan merpati.
“Kesemua individu berkenaan dikompaun mengikut Seksyen 47(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dengan kadar RM250 bagi setiap kesalahan.
“Pesalah yang gagal melunaskan kompaun boleh dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.
MBPP menambah, sebagai langkah pencegahan berterusan, pihaknya telah menyusun pemantauan serta operasi kawalan populasi merpati yang dilaksanakan setiap hari mengikut lokasi ditetapkan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang ingkar kerana aktiviti memberi makan merpati boleh menjejaskan kebersihan awam dan menyumbang kepada masalah kesihatan,” katanya.
Tahun lalu, MBPP telah memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang membuang sampah dan sisa makanan merata-rata termasuk pemberi makanan kepada burung merpati atau haiwan lain di negeri ini.
MBPP berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu menjejaskan kebersihan di kawasan tertentu serta imej Pulau Pinang sekiranya tidak dibendung dan dikawal.
Menurut MBPP, tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang membuang sampah termasuk sisa makanan akan diambil di bawah Seksyen 47(1)(g) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Ringkasan AI
- Sembilan individu dikenakan kompaun kerana memberi makan burung merpati di kawasan awam di George Town
- Tindakan diambil oleh MBPP selepas hebahan dan program pendidikan awam
- Individu yang melanggar dikenakan kompaun sebanyak RM250 mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974
- MBPP menyusun operasi kawalan populasi merpati setiap hari sebagai langkah pencegahan
- MBPP tidak akan berkompromi dengan individu yang ingkar kerana boleh menjejaskan kebersihan dan kesihatan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

