Pengarah syarikat didakwa minta suapan RM5 juta

Kuhan Arunasalam (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta. Foto Bernama
Kuhan Arunasalam (kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah pada Rabu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta suapan RM5 juta daripada seorang individu sebagai dorongan agar Suruhanjaya Sekuriti tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas sebuah syarikat amanah dan pengurusan harta.

P Kuhan Arunasalam, 39, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Jalan Bangkung, Bangsar dekat sini pada 2 Julai 2024 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Kuhan Arunasalam mengaku tidak bersalah dan pegawai pendakwa, Selvam T Armugom menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai, dan dia dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam, Wan Shahrizan Wan Ladin tidak membantah jumlah jaminan itu dan memaklumkan bahawa anak guamnya bersedia menerima sebarang syarat tambahan yang ditetapkan oleh mahkamah.

Hakim Suzana Hussin membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon oleh pendakwaan dan menetapkan 6 Nov ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang pengarah didakwa meminta suapan RM5 juta untuk menghindari tindakan undang-undang Suruhanjaya Sekuriti terhadap syarikat amanah dan pengurusan harta
  • P Kuhan Arunasalam menghadapi tuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009
  • Hukuman maksimum yang boleh dikenakan adalah penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi
  • Kuhan Arunasalam mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM20,000 serta syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport dan melapor diri bulanan ke SPRM
  • Kes akan disebut semula pada 6 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!