CapBay, TrackerHero kerjasama percepat pendigitalan industri keselamatan

(Dari kiri ke kanan), Pengasas Bersama dan CEO CapBay, Ang Xing Xian, Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri (KDN), Omar Mokhtar A Manap, Pengarah Pendigitalan PKS, Penerimagunaan Digital (MDEC), Mohd Redzuan Affandi Abdul Rahim dan Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TrackerHero, Izzat Hanif
(Dari kiri ke kanan), Pengasas Bersama dan CEO CapBay, Ang Xing Xian, Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri (KDN), Omar Mokhtar A Manap, Pengarah Pendigitalan PKS, Penerimagunaan Digital (MDEC), Mohd Redzuan Affandi Abdul Rahim dan Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TrackerHero, Izzat Hanif
A
A
A

BAY Group Holdings Sdn Bhd (CapBay) yang mengkhusus dalam pembiayaan rantaian bekalan dan pembiayaan P2P bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ultrack Technology Sdn Bhd (TrackerHero), penyedia utama penyelesaian pengurusan tenaga kerja keselamatan bagi mempercepat penerimaan dan perkembangan digital dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor perkhidmatan keselamatan.

Kerjasama julung kali ini menggabungkan inovasi fintech dengan teknologi keselamatan bagi menyokong lebih 1,300 syarikat keselamatan berlesen.

TrackerHero membolehkan PKS menggunakan teknologi pengurusan tenaga kerja canggih tanpa kos pendahuluan manakala CapBay pula memperuntukkan RM200 juta pembiayaan untuk menghapuskan halangan kewangan.

Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri (KDN), Omar Mokhtar A Manap berkata, pendigitalan adalah kritikal dalam memperkukuh industri keselamatan Malaysia di bawah pemantauan KDN.

“Saya mengiktiraf TrackerHero kerana memimpin transformasi ini, CapBay kerana menyediakan akses pembiayaan serta MDEC kerana memacu agenda Digitalisasi Perniagaan Malaysia.

“Kerjasama sebegini memperkasa PKS keselamatan untuk beroperasi dengan lebih cekap, mengekalkan pematuhan dan menyumbang secara bermakna kepada keselamatan negara serta pertumbuhan ekonomi,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis pertukaran MoU yang berlangsung sempena acara “Transformasi Digital untuk Industri Keselamatan & Perkhidmatan” baru-baru ini.

Menerusi MoU ini, PKS keselamatan akan mendapat akses kepada penyelesaian digital seperti sistem rondaan berasaskan AI, pengurusan operasi masa nyata dan alatan pematuhan.

Jika sebelum ini teknologi ini terbatas akibat kos permulaan yang tinggi, kini ia boleh diakses dengan sokongan pembiayaan CapBay sekali gus membolehkan PKS mendigitalkan operasi serta memperoleh kontrak kerajaan dan korporat berskala besar.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CapBay, Ang Xing Xian berkata, kerjasama dengan TrackerHero bukan sekadar menyediakan pembiayaan.

Artikel Berkaitan:

“Sebaliknya ia mengukuhkan tulang belakang ekonomi Malaysia dengan membolehkan PKS mengamalkan pendigitalan dan menawarkan perkhidmatan bernilai tinggi.

“Dengan mengintegrasikan pembiayaan dan pengurusan tenaga kerja digital, kerjasama ini memperkasa PKS keselamatan untuk beroperasi lebih efisien dan mengguna pakai teknologi terkini bagi kekal berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif TrackerHero, Izzat Hanif berkata, kerjasama ini mengenai pelaksanaan berskala besar, menggabungkan pembiayaan dan teknologi supaya PKS keselamatan dapat mendigitalkan operasi tanpa halangan.

“Dengan sokongan CapBay dan di bawah payung agenda digitalisasi MDEC, kami menangani isu terbesar industri: operasi yang telus, pematuhan yang boleh disahkan dan kecekapan berasaskan data.

“Matlamat kami ialah ekosistem keselamatan yang lebih kukuh, bersedia untuk masa depan, berdaya saing di peringkat serantau dan mampu berkhidmat untuk kepentingan awam dengan penuh keyakinan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama ini kerana ia mencerminkan semangat Inisiatif Digitalisasi Perniagaan Malaysia Digital iaitu mempercepatkan penerimaan digital merentas industri.

“Dengan merapatkan jurang antara penyedia fintech dan teknologi, inisiatif seperti ini membolehkan PKS berkembang, berinovasi dan menyumbang secara signifikan kepada visi Malaysia sebagai negara dipacu digital,” ujarnya.

Menariknya, kolaborasi ini turut mendapat sokongan Fakulti Kecerdasan Buatan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai rakan penyelidikan strategik TrackerHero sekali gus mengukuhkan ekosistem yang memacu pendigitalan sektor keselamatan Malaysia.

Melangkah ke hadapan, CapBay dan TrackerHero melihat kerjasama ini sebagai titik permulaan untuk impak yang lebih luas.

Model ini akan diperluaskan kepada industri lain yang mempunyai cabaran tenaga kerja dan operasi yang sama termasuk logistik dan pengurusan fasiliti seterusnya mempercepatkan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara dipacu digital.

Ringkasan AI

  • CapBay telah bertukar MoU dengan TrackerHero untuk mempercepat digitalisasi dalam PKS sektor keselamatan
  • Kerjasama ini menyokong lebih dari 1,300 syarikat keselamatan berlesen dengan memadukan inovasi fintech dan teknologi keselamatan
  • CapBay menyediakan RM200 juta pembiayaan untuk PKS mengatasi halangan kewangan mendigitalisasi operasi
  • MoU membolehkan PKS akses kepada penyelesaian digital termasuk sistem rondaan AI dan pengurusan operasi masa nyata
  • Kerjasama ini bertujuan memperkasa PKS dengan teknologi terkini untuk efisiensi, pematuhan dan kontribusi kepada ekonomi Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!