'Umi jangan menangis' - Remaja tahfiz hidap penyakit Brugada

DENGKIL – “Umi jangan menangis, Alawi reda dengan apa yang ALLAH beri sebab penyakit ini makhluk Dia juga.”
Demikian kata Muhammad Alawi Mohd Turmadzi, 18, pelajar tahfiz yang disahkan menghidap penyakit jantung jarang ditemui, sindrom Brugada.
Ibunya, Khadijah Mohamad Nor, 42, berkata, penyakit itu dikesan selepas anak sulungnya pengsan di bilik air pada Disember lalu hingga kepalanya terhantuk.
“Pemeriksaan ECG (elektrokardiogram) mendapati bacaan jantung tidak normal sebelum doktor mengesahkan dia menghidap sindrom Brugada, gangguan genetik fungsi elektrik jantung yang boleh membawa kepada kematian mengejut,” katanya.
Pada Jun lalu, Muhammad Alawi selamat menjalani pembedahan memasang implantable cardioverter defibrillator (ICD) bernilai RM45,000 di Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Kos bateri ditanggung syarikat pengeluar, Boston Scientific, manakala keluarganya hanya membayar bil hospital dengan bantuan Tabung Kasih HAWANA.
Khadijah berkata, rutin keluarga tidak banyak berubah tetapi mereka lebih peka kerana demam atau sakit kepala boleh mencetuskan serangan.
Cabaran terbesar adalah kewangan, namun doa, solat dan sedekah menjadi penawar paling mujarab, katanya.
Harapannya, anaknya yang menduduki SPM lebih awal tahun ini dapat menjalani hidup normal seperti remaja lain dan menjadi insan soleh yang membimbing keluarga ke syurga.
Ringkasan AI
- Muhammad Alawi Mohd Turmadzi, 18, pelajar tahfiz, menghidap penyakit jantung jarang ditemui, sindrom Brugada.
- Penyakit tersebut dikesan setelah dia pengsan di bilik air dan terhantuk kepala, diikuti pemeriksaan ECG yang menunjukkan bacaan jantung tidak normal
- Muhammad Alawi telah menjalani pembedahan memasang implantable cardioverter defibrillator (ICD) di Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah, Serdang
- Kos pembedahan dan bateri ICD ditanggung oleh Boston Scientific dan bantuan Tabung Kasih HAWANA
- Ibunya, Khadijah, menekankan pentingnya doa, solat, dan sedekah sebagai penawar, sambil berharap anaknya dapat hidup normal dan menjadi insan soleh
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


