Bateri kecil penyambung hayat

PUTRAJAYA - Peranti perentak jantung menjadi penyelamat bagi pesakit yang mengalami masalah ritma jantung serius termasuk degupan terlalu perlahan, terlalu laju atau jantung lemah.
Pakar Kardiologi Intervensi, Dr Wong Teck Wee berkata, terdapat tiga jenis pacemaker bergantung keperluan pesakit.

“Jenis pertama untuk pesakit jantung terlalu perlahan atau sick sinus syndrome yang menyebabkan pening dan pengsan.
“Jenis kedua bagi irama terlalu laju seperti ventricular tachycardia (VT) atau ventricular fibrillation (VF) sehingga 200 hingga 300 denyutan seminit. Pacemaker ini memberi kejutan elektrik seperti jumper untuk memulihkan irama.
“Jenis ketiga sesuai bagi jantung lemah dan tidak berkoordinasi kerana ia merangsang bahagian kiri dan kanan agar berdenyut serentak,” katanya.

Beliau berkata, kos pemasangan berbeza mengikut jenis, sekitar RM20,000 untuk asas, RM60,000 hingga RM70,000 bagi jenis kedua dan sehingga RM100,000 bagi jenis ketiga di hospital swasta.
“Di hospital kerajaan, prosedur biasanya percuma tetapi ada kes tertentu pesakit perlu membayar harga peranti manakala kos pembedahan ditanggung kerajaan,” jelasnya.
Jangka hayat bateri pula antara 10 hingga 12 tahun, namun bagi pesakit yang kerap menerima kejutan, bateri boleh habis lebih cepat.
Dr Teck Wee menambah, kes penggunaan pacemaker dalam kalangan orang muda semakin meningkat walaupun majoriti pesakit tetap warga emas.
Tiada data terkini jumlah keseluruhan pesakit di Malaysia, namun menurut White Book 2023 terbitan Persatuan Rentak Jantung Asia Pasifik (APHRS), terdapat 1,411 pemasangan pacemaker pada 2022 meliputi implan baharu dan penggantian. Pemasangan tahunan pula dianggarkan sekitar 1,200 hingga 1,300 kes.
Sementara itu, Pakar Kardiologi dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Lee Boon Chye berkata, pacemaker ditanam di bawah kulit untuk menstabilkan degupan jantung.

Katanya, terdapat pacemaker berkabel atau tanpa kabel (leadless pacemaker) dengan prosedur pemasangan menggunakan fluoroskopi atau kateter. Risiko utama termasuk pendarahan, jangkitan dan pneumotoraks.
“Pesakit mesti hadir pemeriksaan berkala bagi memantau status bateri. Mereka boleh bersenam dan bekerja seperti biasa. Generasi pacemaker terkini juga mesra mesin pengimbas MRI,” katanya.
Ringkasan AI
- Peranti perentak jantung penting bagi pesakit dengan masalah ritma jantung
- Terdapat tiga jenis pacemaker mengikut keperluan pesakit
- Kos pemasangan bergantung pada jenis pacemaker, dari RM20,000 hingga RM100,000 di hospital swasta
- Jangka hayat bateri pacemaker antara 10 hingga 12 tahun
- Penggunaan pacemaker meningkat dalam kalangan orang muda, dengan 1,411 pemasangan pada 2022
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

