FAM perlu sokongan pakar dalam rayuan kes FIFA - Christopher Raj

 Christopher Raj
Christopher Raj
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) disaran segera membina pasukan undang-undang mantap bagi menghadapi prosiding rayuan terhadap denda yang ke atas badan induk bola sepak negara itu serta tujuh pemain warisan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), baru-baru ini.

Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Datuk Christopher Raj turut mencadangkan FAM tidak hanya bergantung kepada Ahli Jawatankuasa Tatatertib, sebaliknya mendapatkan pandangan serta bantuan pakar luar bagi memperkukuh rayuan dan menghadapi kemungkinan tindakan undang-undang oleh FIFA.

Christopher menyifatkan kemelut itu sebagai detik hitam bola sepak negara, sambil menegaskan FAM perlu bertindak segera memandangkan mereka bakal berdepan Ahli Jawatankuasa Tatatertib dan Tribunal FIFA yang dipenuhi bekas peguam berpengalaman luas.

Beliau berkata, Ahli Jawatankuasa Tatatertib dan Tribunal FIFA bukan sekadar bekas pemain, sebaliknya kebanyakannya terdiri daripada bekas peguam dari negara-negara Eropah yang lama berkecimpung dalam perundangan sukan.

"Majoriti mereka (Ahli Jawatankuasa Tatatertib dan Tribunal FIFA) adalah bekas peguam dengan pengalaman bertahun-tahun. Jadi, FAM tidak boleh memandang ringan kepakaran yang dimiliki pihak lawan dalam prosiding ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.

Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengakui terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan kakitangan pentadbiran badan induk itu.

Noor Azman berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menegaskan para pemain terbabit adalah rakyat Malaysia yang sah.

Beliau menambah FAM kini menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada. - Bernama

Ringkasan AI

  • PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) disaran segera membina pasukan undang-undang mantap untuk menghadapi prosiding rayuan FIFA
  • Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM, Datuk Christopher Raj mencadangkan FAM mendapatkan bantuan pakar luar
  • Kemelut dikenakan denda oleh FIFA disifatkan sebagai detik hitam bola sepak negara
  • FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA
  • FAM dikenakan denda CHF350,000 manakala setiap pemain didenda CHF2,000 serta digantung 12 bulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!