Jadikan kondominium pusat transit, makmal proses dadah

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket yang menjadikan sebuah unit kondominium di Jalan Yap Kwan Seng sebagai pusat transit dan makmal memproses minuman bercampur dadah akhirnya terbongkar dalam serbuan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, serbuan dijalankan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Beliau berkata, serbuan kira-kira jam 10.20 malam itu turut menahan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 32 tahun.
"Pemeriksaan di unit kondominium itu menemukan 503 botol cecair disyaki methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 239.5 kilogram, 298 gram serbuk MDMA, 70 pil erimin dan 20 peket ketamin.
"Setiap botol cecair itu dijual pada harga kira-kira RM450 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM251,020 dan dianggarkan mampu menampung keperluan 3,631 penagih," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini pada Isnin.
Sulizmie berkata, serbuan turut menyita dua kereta jenis Honda City dan Toyota Vios bernilai RM50,000 serta wang tunai RM140, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan sebanyak RM301,160.
"Siasatan mendapati sindiket berkenaan menyewa kondominium melalui aplikasi dalam talian bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum memproses minuman bercampur dadah untuk diedarkan ke pusat hiburan sekitar Lembah Klang.
"Hasil soal siasat mendapati suspek menggunakan aplikasi online untuk urusan jual beli dan menerima upah RM100 bagi setiap penghantaran sejak awal tahun ini," katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek direman lima dan tujuh hari untuk tindakan lanjut.
"Saringan dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah selain semakan mendapati salah seorang suspek memiliki rekod berkaitan dadah.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Ringkasan AI
- Sindiket menggunakan unit kondominium di Jalan Yap Kwan Seng sebagai pusat transit dan makmal memproses minuman bercampur dadah
- Serbuan dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 10.20 malam
- Dua lelaki tempatan berusia 30 dan 32 tahun ditahan
- Serbuan menemukan 503 botol cecair MDMA, 298 gram serbuk MDMA, 70 pil erimin, dan 20 peket ketamin
- Sindiket menyewa kondominium melalui aplikasi dalam talian dan menggunakan aplikasi dalam talian untuk urusan jual beli
- Suspek dapat upah RM100 untuk setiap penghantaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

