Malaysia perkenal skim kecederaan lindungi pekerja di luar waktu pejabat - PM

Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Keselamatan Sosial Dunia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan memperkenalkan Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan (Non-Employment Injury Scheme) bagi memastikan pekerja dilindungi bukan sahaja ketika berada di pejabat, tetapi juga di luar waktu kerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skim berkenaan akan meluaskan jaringan keselamatan sosial sejajar dengan realiti semasa yang menuntut perlindungan menyeluruh.

“Tekanan kerja tidak lagi terhenti di pintu kilang atau pejabat. Dengan adanya kerja fleksibel dan jarak jauh, perlindungan mesti diselaraskan dengan cara hidup dan bekerja hari ini.

“Perlindungan ini akan merangkumi sepanjang masa kerana kemalangan tidak mengikut jadual,” katanya ketika merasmikan World Social Security Forum 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

Anwar turut menegaskan bahawa negara mesti bersedia menghadapi hakikat Malaysia bakal menjadi masyarakat menua menjelang 2030, apabila satu daripada tujuh rakyat berusia lebih 60 tahun.

Katanya, perubahan demografi itu menuntut kerajaan menyediakan sistem sokongan kukuh, termasuk penjagaan rapi kepada warga emas, selain memastikan mereka terus menyumbang pengalaman serta kemahiran kepada masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga memberi tumpuan memperluaskan perlindungan sosial kepada golongan yang sebelum ini berada di luar radar sistem keselamatan, termasuk pekerja informal, suri rumah dan penghantar makanan.

“Golongan ini banyak menyumbang kepada masyarakat, namun mereka berdepan risiko tinggi tanpa jaminan keselamatan. Kini, kita berusaha memastikan tiada siapa ditinggalkan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Perdana Menteri, perlindungan sosial bukan sekadar sistem birokrasi atau pemberian manfaat, sebaliknya merupakan ‘infrastruktur moral’ yang mencerminkan nilai kemanusiaan dan keadilan dalam sesebuah masyarakat.

“Dalam tradisi Islam, baitulmal memastikan kekayaan diagihkan kepada golongan miskin, balu, anak yatim dan warga emas. Legasi keadilan dan solidariti itu terus menjadi ilham kepada kita,” jelasnya.

 

Ringkasan AI

  • Malaysia akan memperkenalkan Skim Kecederaan Bukan Pekerjaan
  • Skim ini bertujuan melindungi pekerja di luar waktu pejabat
  • Tekanan kerja dikenal pasti tidak hanya berhenti di tempat kerja
  • Inisiatif ini menyesuaikan perlindungan dengan susunan kerja fleksibel dan kerja dari jauh
  • Skim ini akan meluaskan perlindungan kepada pekerja pada sepanjang masa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!