Syria Care lancar HUMAM Relief, perluas misi kemanusiaan Malaysia ke global

Siti Sakinah (tengah) bergambar beramai-ramai bersama tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran HUMAM Relief.
Siti Sakinah (tengah) bergambar beramai-ramai bersama tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran HUMAM Relief.
A
A
A

SHAH ALAM – Syria Care mengorak langkah baharu apabila melancarkan Pertubuhan Amal HUMAM atau HUMAM Relief bagi memperluaskan misi kemanusiaan Malaysia ke peringkat global, termasuk tanah air sendiri.

Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, HUMAM Relief ditubuhkan pada tahun 2024 daripada pengalaman, pengorbanan dan kejayaan Syria Care lebih sedekad di bumi Syam.

Siti Sakinah
Siti Sakinah

Menurutnya, pertubuhan itu diwujudkan dengan visi lebih luas bukan sahaja memberi bantuan kecemasan tetapi membina masa depan mampan dan bermaruah untuk masyarakat rentan seluruh dunia.

"HUMAM Relief lahir sebagai ‘adik’, tetapi dengan mandat lebih luas dan ia akan berperanan sebagai ‘abang’ kepada Syria Care.

Syria Care akan terus fokus kepada bumi Syam, manakala HUMAM Relief membawa pengalaman itu ke peringkat global.

"Pertubuhan amal tersebut percaya setiap bantuan mesti menghormati identiti, budaya dan maruah komuniti yang dibantu supaya mereka bukan sekadar hidup tetapi hidup dengan martabat," katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran itu turut menyaksikan pengenalan logo baharu Syria Care yang melambangkan aspirasi segar serta perjalanan organisasi semakin matang.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, HUMAM Relief sudah melaksanakan projek awal seperti pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia, pemulihan rumah rosak akibat konflik di Syria serta projek WASH (Air, Sanitasi dan Kebersihan) di Malaysia.

"Ia hanyalah langkah permulaan. Kami mahu melihat HUMAM Relief berkembang menjadi peneraju misi kemanusiaan dengan projek mampan di Malaysia dan antarabangsa," ujarnya lagi.

Justeru, Siti Sakinah berharap, komuniti rentan dan terpinggir mampu membina semula kehidupan melalui inovasi, pemerkasaan dan penyelesaian mampan.

Sejak ditubuhkan pada 2012, Syria Care bermula daripada bilik kecil oleh sukarelawan dan bekas pelajar Syria di Malaysia dengan diterajui pengasasnya, Sheikh Samir Sakka sebelum berkembang menjadi NGO kemanusian yang meninggalkan kesan bersar.

Pada 2013, misi pertamanya diuji apabila seorang petugas ditembak ketika bertugas namun peristiwa itu menguatkan lagi tekad perjuangan sehingga NGO itu didaftarkan secara rasmi pada 2014.

Pengasas Syria Care, Sheikh Shamir Sakkar (tiga dari kiri) bergambar bersama penerima penghargaan kolaborasi sempena misi bantuan gempa bumi Turkiye-Syria pada 2023 serta pembinaan perumahan Sinar Baitul Ridha.
Pengasas Syria Care, Sheikh Shamir Sakkar (tiga dari kiri) bergambar bersama penerima penghargaan kolaborasi sempena misi bantuan gempa bumi Turkiye-Syria pada 2023 serta pembinaan perumahan Sinar Baitul Ridha.

Antara pencapaian besar Syria Care termasuk projek perumahan Kampung Malaysia di Idlib, penajaan hampir 6,000 anak yatim, pembinaan 19 sekolah, rumah anak yatim dan warga emas Dar As-Sakinah di Jisr Al-Shughur serta bantuan kepada hampir enam juta penerima manfaat di lebih 10 negara.

Selain itu, Syria Care turut menjadi NGO Malaysia pertama didaftarkan secara rasmi di Syria bagi menyalurkan bantuan secara lebih sistematik dan berkesan.

Dengan kehadiran HUMAM Relief, Syria Care kini berperanan lebih fokus kepada bumi Syam meliputi Syria, Palestin dan Lubnan, manakala HUMAM Relief menjadi sayap global memperluaskan capaian bantuan dengan semangat sama.

"Perjalanan lebih sedekad Syria Care membuktikan bahawa setiap doa, sumbangan dan sokongan rakyat Malaysia mampu mengubah kehidupan insan lain.

"HUMAM Relief adalah kesinambungan daripada kekuatan ini, misi itu milik kita semua sebagai manusia yang diamanahkan untuk membela manusia lain," jelas Siti Sakinah.

Ringkasan AI

  • Syria Care melancarkan Pertubuhan Amal HUMAM Relief untuk memperluaskan misi kemanusiaan global dan di tanah air
  • HUMAM Relief ditubuhkan daripada pengalaman Syria Care lebih sedekad di bumi Syam dengan visi memberi bantuan kecemasan dan membina masa depan mampan
  • Syria Care fokus kepada bumi Syam manakala HUMAM Relief membawa pengalaman ke peringkat global
  • HUMAM Relief sudah melaksanakan projek pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia serta pemulihan rumah di Syria
  • Syria Care adalah NGO Malaysia pertama didaftarkan di Syria untuk membantu secara sistematik dan HUMAM Relief akan mengambil peranan global

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!