Annuar Musa gesa FAM pertahan pemain Harimau Malaya, persoal tindakan FIFA

ANNUAR MUSA
ANNUAR MUSA
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) digesa mengambil tindakan tegas bagi mempertahankan kerakyatan pemain Harimau Malaya dan proses naturalisasi selagi ia dilaksanakan dengan betul serta menepati segala protokol yang ditetapkan.

Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan The Real Warriors (Kelantan-TRW), Tan Sri Annuar Musa berkata, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga perlu memberi penjelasan lanjut berhubung tindakannya yang didakwa menimbulkan beberapa tanda tanya.

“FIFA sepatutnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa terbabit dan FAM serta pemain seharusnya kekal tidak bersalah selagi tiada bukti mengaitkan mereka, bukannya sebaliknya.

“Hukuman yang dikenakan seolah-olah ada ‘kecacatan’ dalam proses menghukum, dan pengumuman yang disebar luas tanpa fakta kes jelas telah meletakkan FAM serta pemain pada situasi tidak adil, selain terpaksa berdepan pelbagai polemik tidak terkawal,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan tegas oleh FIFA selepas didapati melakukan pelanggaran serius membabitkan Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Dalam kenyataan rasmi badan induk bola sepak dunia itu, FAM didapati telah mengemukakan pertanyaan kelayakan pemain kepada FIFA dengan menggunakan dokumen yang diubah suai bagi membolehkan pemain berkenaan diturunkan.

Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Ujar bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, FIFA selaku badan induk bola sepak dunia sepatutnya menjaga reputasi serta menghormati kedaulatan undang-undang negara ahlinya.

“Kesamaran dan keraguan harus dielakkan.

Artikel Berkaitan:

“Saya memahami Malaysia mempunyai peraturan pemberian kerakyatan yang amat ketat. Saya percaya prinsip tersebut telah dan sentiasa dipertahankan.

“Tindakan FIFA menjatuhkan hukuman setelah FIFA sendiri meluluskan pemain-pemain berkenaan mewakili negara amatlah mengelirukan dan menimbulkan tanda tanya,” ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) digesa mengambil tindakan tegas mempertahankan kerakyatan pemain Harimau Malaya dan proses naturalisasi
  • Presiden Kelab Bola Sepak Kelantan The Real Warriors, Tan Sri Annuar Musa menuntut penjelasan daripada FIFA berhubung tindakan yang menimbulkan keraguan
  • FAM dan tujuh pemain didakwa oleh FIFA melakukan pelanggaran membabitkan pemalsuan dokumen
  • Antara pemain yang terlibat adalah Gabriel Felipe Arrocha dan lain-lain
  • FIFA dipersoalkan atas tindakannya menjatuhkan hukuman selepas meluluskan pemain wakili negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!