Dewi Remaja 2025 tampil format baharu ikonik

Seramai 12 finalis Dewi Remaja 2025 dengan pelbagai personaliti dan latar belakang menarik. FOTO: Nu Ideaktiv
Seramai 12 finalis Dewi Remaja 2025 dengan pelbagai personaliti dan latar belakang menarik. FOTO: Nu Ideaktiv
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 12 finalis dipilih untuk berentap dan menonjolkan personaliti masing-masing bagi merebut gelaran berprestij iaitu Dewi Remaja 2025.

Penganjuran kali ini boleh dikatakan cukup ikonik kerana ia bersempena sambutan ulang tahun Dewi Remaja yang ke-40 sejak mula diperkenalkan pada 1985.

Ketua Unit Bisnes New Gen and Men’s merangkap Editor Pengurusan Remaja, Fiezreen Ahmad berkata, kali ini pihaknya menyajikan format lebih segar dan unik dengan memperkenalkan ‘Dewi Sister’ iaitu juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae yang berperanan sebagai hos serta mentor kepada finalis.

Tambahnya, alumni Dewi Remaja daripada pelbagai musim juga akan turut serta sebagai juri jemputan bagi memberikan bimbingan dan sokongan moral di setiap lapan episod.

“Empat dekad lalu, jenama Dewi Remaja menjadi titik mula bagi ramai nama besar yang kini mewarnai industri hiburan tanah air.

“Tahun ini kami meraikan legasi tersebut dengan format baharu lebih dinamik, liputan kandungan menyeluruh dan finalis yang benar-benar berkualiti.

Kamal Adli dan Nabila Huda menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap Dewi Remaja 2025.
Kamal Adli dan Nabila Huda menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap Dewi Remaja 2025.

“Kualiti finalis tahun ini amat membanggakan. Mereka bukan sahaja cantik, malah berbakat dan menginspirasikan. Inilah definisi sebenar dewi moden iaitu versatil, berdaya saing serta mampu menjadi ikon remaja Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika sidang media pengenalan barisan finalis Dewi Remaja 2025 di TGV One Utama di sini pada Rabu.

Dengan tema ‘Pesonakan Bintangmu’, antara wajah baharu yang bakal menghiasi kaca televisyen ialah Dheper, Nylea, Camelia, Marisa, Elisa Chew, Teya, Suhaila, Ariana, Ellysa, Sharmaine, Nelysa Kay dan Fittri.

Dewi Remaja 2025 akan mula bersiaran pada 10 Oktober ini jam 10 malam di Astro Ria saluran 104 dan strim secara On Demand di Astro GO serta sooka.

Pelakon terkenal, Kamal Adli dan Nabila Huda dipilih selaku juri tetap untuk menilai bahawa bukan hanya kecantikan yang menjadi sandaran, tetapi juga keperibadian, bakat serta ketulenan finalis.

Sejak dianjurkan 40 tahun lalu, pertandingan ini berjaya mencungkil bakat ramai personaliti terkenal tanah air antaranya Aleeza Kassim, Scha Alyahya, Izara Aishah, Neelofa, Anzalna Nasir, Raysha Rizrose, Tracie Sinidol dan Nurel Baharin.

Ditanya mengenai komen segelintir masyarakat bahawa Dewi Remaja tidak lagi relevan, Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari menyanggah pandangan sedemikian.

Beliau menyifatkan edisi ulang tahun Dewi Remaja 2025 bukan sekadar program hiburan, tetapi juga platform yang membawa impak sosial mendalam.

Dari kiri: Shaza Bae, Fiezreen dan Idlan ketika sesi sidang media pengenalan barisan finalis Dewi Remaja 2025 di TGV One Utama pada Rabu.
Dari kiri: Shaza Bae, Fiezreen dan Idlan ketika sesi sidang media pengenalan barisan finalis Dewi Remaja 2025 di TGV One Utama pada Rabu.

Jelasnya, Dewi Remaja 2025 akan terus memperkukuh posisi Astro Ria sebagai rumah kepada program realiti ikonik sejak ia mula diperkenalkan menerusi rancangan majalah sehingga beralih ke platform televisyen.

“Sebagai saluran hiburan nombor satu di Malaysia, kami percaya Dewi Remaja 2025 akan terus memperkukuh posisi Astro Ria.

“Bukan sekadar mengambil kira angka tontonan, yang penting bagaimana program ini mampu menyentuh hati penonton dan memberi kesan positif buat generasi muda. Inilah kekuatan sebenar Dewi Remaja,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Seramai 12 finalis dipilih untuk merebut gelaran Dewi Remaja 2025
  • Penganjuran ini menyambut ulang tahun ke-40 Dewi Remaja
  • Juara Dewi Remaja 2019, Shaza Bae berperanan sebagai hos dan mentor
  • Pelakon Kamal Adli dan Nabila Huda adalah juri tetap
  • Dewi Remaja 2025 akan mula bersiaran pada 10 Oktober di Astro Ria

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!