Kerajaan Madani boleh kekal selepas PRU16 jika banyak formula ekonomi bijak seperti BUDI95 - Hassan Karim

Hassan Karim
Hassan Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai peluang untuk mengekalkan pentadbiran selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya lebih banyak formula ekonomi seperti program Budi Madani RON95 (BUDI95) dilaksanakan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, dasar sedemikian popular dalam kalangan rakyat tanpa mengira kelas atau kelompok.

“Rakyat biasa atau rakyat marhaen tidak begitu faham maksud falsafah Madani. Tetapi rakyat miskin dan kaya menyokong pengumuman Kerajaan Madani bahawa subsidi petrol RON95 diberikan kepada semua warganegara.

“Dasar seperti ini popular kepada rakyat tanpa mengira kelas dan ras. Bukanlah satu kesalahan bagi kerajaan melaksanakan dasar yang popular. Pilihan raya negeri dan pilihan raya umum tidak lama lagi akan tiba.

“Orang miskin B40 dan kelas menengah M40 gembira, manakala golongan kaya T20 tidak marah. Jika ada banyak formula ekonomi seperti ini, di mana semua rakyat suka, kos sara hidup tidak menekan, kadar inflasi kalau naik pun berpada-pada, gaji rakyat pula meningkat selaras kenaikan produktiviti, maka ada peluang Kerajaan Madani jadi kerajaan semula pada PRU16 nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebook, Rabu.

Pada Isnin, Anwar mengumumkan pelaksanaan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan.

Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 bermula tarikh sama.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga ahli Parlimen kerajaan berkata, melalui pelaksanaan inisiatif itu kerajaan dapat berjimat antara RM2.5 hingga RM4 bilion setahun.

Katanya, usaha tersebut merupakan formula ekonomi bijak dan hasil penjimatan itu akhirnya dapat dinikmati semula oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kerajaan Madani mempunyai peluang kekal berkuasa jika terus melaksanakan formula ekonomi seperti program Budi Madani RON95
  • Dasar ekonomi yang menguntungkan semua lapisan masyarakat menjadi popular
  • Subsidi petrol RON95 untuk semua warganegara disokong tanpa mengira kelas dan ras
  • Melalui pelaksanaan harga petrol RON95 pada RM1.99 untuk warganegara, kerajaan dapat berjimat antara RM2.5 hingga RM4 bilion setahun
  • Inisiatif ini dinikmati oleh semua rakyat serta mendapat sokongan luas, memperkuat peluang kerajaan Madani pada PRU16

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!