Piala Agong: Ujian sebenar menanti Johor di Terengganu

Kejayaan Johor membenam ATM 65 - 14 meletakkan skuad selatan tanah air itu berada pada tahap terbaik. FOTO: Kesatuan Ragbi Negeri Johor
Kejayaan Johor membenam ATM 65 - 14 meletakkan skuad selatan tanah air itu berada pada tahap terbaik. FOTO: Kesatuan Ragbi Negeri Johor
A
A
A

PENGENDALI Johor yang juga legenda New Zealand All Blacks, Rodney So’oialo menegaskan skuadnya tidak sesekali memandang ringan cabaran Terengganu menjelang aksi Kumpulan B Piala Agong di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Sabtu ini.

Johor hadir selaku pendahulu kumpulan dengan rekod tanpa kalah, termasuk kemenangan besar 65-14 ke atas ATM pada aksi terdahulu.

Namun, So’oialo percaya momentum itu tidak menjamin laluan mudah apabila bertemu Terengganu yang semakin garang selepas menundukkan Pahang 57-20.

“Kami telah mempunyai perancangan yang jelas sejak dari awal, disokong oleh sekumpulan pemain hebat yang sentiasa bersedia untuk diturunkan bila diperlukan.

"Kami sama sekali tidak akan memandang rendah atau tidak menghormati Terengganu, mahupun mana-mana pasukan yang kami hadapi.

“Setiap lawan layak mendapat penghormatan kami. Bagi kami, ia adalah tentang mencabar diri untuk mencapai tahap yang lebih tinggi melalui disiplin, pelaksanaan taktikal, serta bekerja keras untuk satu sama lain,” katanya kepada Sukan Sinar.

Mengulas persepsi bahawa Johor sering kelihatan selesa apabila mendahului besar, So’oialo menegaskan anak buahnya sentiasa merendah diri dan tidak terperangkap dengan keyakinan berlebihan.

“Saya tidak pernah melihat tanda-tanda pemain kami berasa terlalu yakin atau angkuh. Jika ada isu sekalipun, ia mungkin hanya melibatkan kurangnya tumpuan pada saat-saat tertentu, bukannya sikap sambil lewa.

“Para pemain kekal merendah diri dan komited untuk terus memperbaiki diri,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menghadapi Terengganu yang dilihat semakin meningkat prestasi, So’oialo menegaskan Johor lebih gemar menilai diri berdasarkan sasaran dalaman berbanding pandangan luar yang mendakwa pasukannya belum diuji sepenuhnya.

“Fokus kami bukan pada pandangan luar, tetapi pada prestasi, standard, dan nilai yang kami pegang.

"Kami menilai diri berdasarkan matlamat yang telah ditetapkan sebagai satu pasukan, dan itulah prinsip utama yang terus memandu langkah kami ke hadapan,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Pengendali Johor, Rodney So'oialo menegaskan tidak memandang ringan Terengganu menjelang perlawanan Piala Agong
  • Johor hadir dengan rekod tanpa kalah termasuk kemenangan besar terhadap ATM
  • So'oialo menekankan pentingnya tetap merendah diri dan tidak terlalu yakin meskipun memiliki momentum positif
  • Pendekatan Johor adalah menghormati setiap lawan dan meningkatkan prestasi melalui disiplin dan kerja keras bersama
  • Menilai prestasi berdasarkan sasaran dan nilai dalaman pasukan berbanding pandangan luar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!