Kerjasama Persekutuan, Sabah perlu kekal kukuh selepas PRN - Anwar

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah terus diperkukuh dan sentiasa berada dalam keadaan baik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Anwar berkata, hal ini penting bagi memastikan Kerajaan MADANI berupaya untuk membantu Sabah mempercepat pelaksanaan pembangunan negeri termasuk dalam aspek infrastruktur jalan raya dan prasarana sekolah serta hospital yang lebih baik demi manfaat rakyat secara keseluruhan.
"Hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri mesti baik supaya lebih banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk faedah rakyat.
"Apabila ada kuasa, kita mesti lakukan sebaik mungkin untuk negara dan rakyat.
"Impian saya adalah untuk rakyat bersatu dan memastikan anak-anak sama ada di Kuala Lumpur mahupun di Kelantan atau Keningau, Kota Marudu, Inanam dan semua kawasan di Sabah merasakan mereka ada peluang dan harapan di dalam negara Malaysia,” kata beliau.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian ketika berucap pada Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan bersempena dengan 27 Tahun Reformasi di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni di Inanam, dekat sini hari ini.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menginginkan kerjasama yang kuat antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Sabah
- Tujuan kerjasama untuk mempercepat pembangunan di Sabah termasuk infrastruktur, prasarana sekolah, dan hospital
- Hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri memudahkan pelaksanaan projek pembangunan untuk rakyat
- Anwar berhasrat untuk melihat rakyat Malaysia, tak kira di mana mereka berada, merasakan peluang dan harapan yang sama
- Pernyataan ini dibuat semasa program rapat umum dan himpunan keadilan yang menandakan 27 tahun Reformasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
