Ladang, jeti jadi pot dadah digempur polis

SHAH ALAM – Polis Selangor menggempur beberapa hotspot penagihan dadah di kawasan ladang, jeti serta penempatan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan berjaya menahan 580 individu menerusi operasi khas baru-baru ini.
Operasi Op Tapis selama tiga hari bermula 22 September itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor hasil maklumat serta risikan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, sepanjang tempoh operasi, sebanyak 450 serbuan dijalankan dan pihaknya merekodkan 508 kes serta 580 tangkapan termasuk 28 wanita atas pelbagai kesalahan dadah.
Menurutnya, semua yang ditahan berusia antara 14 hingga 70 tahun.

“Dalam operasi ini, sebanyak 646.3 gram dan 2,315.3 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM35,081 berjaya dirampas.
“Rampasan dadah membabitkan heroin (193.58 g), ganja (232.48 g), ketamin (1 g), pil yaba (1.35 g), pil Eramin 5 (4.98 g), serbuk ekstasi (65 g) dan air ketum (2,315.3 liter),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, JSJN Selangor turut menyita tiga buah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah.
Selain itu, katanya, pihaknya juga berjaya menahan 32 individu yang dikehendaki.
“Objektif utama operasi ini adalah untuk mengesan serta menangkap pengedar dan penagih dadah, di samping menurunkan kadar indeks jenayah di Selangor. Operasi ini juga dapat meningkatkan kadar pertuduhan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap penagih berulang,” ujarnya.
Shazeli menegaskan, secara keseluruhan operasi ini berjaya mencapai objektif dengan mengurangkan aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di Selangor.
“JSJN Selangor akan meneruskan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan ancaman dadah dapat dibendung dengan lebih berkesan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 6, dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985; serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Ringkasan AI
- Polis Selangor menggempur hotspot penagihan dadah melalui Operasi Op Tapis selama tiga hari bermula 22 September
- Berhasil memberkas 580 individu atas pelbagai kesalahan dadah termasuk 28 orang perempuan
- Usia yang ditahan berada dalam lingkungan 14 hingga 70 tahun
- Sebanyak 646.3 gram dan 2,315.3 liter pelbagai jenis dadah dirampas dengan gesamt nilai RM35,081
- Operasi ini bertujuan mengesan pengedar dan penagih dadah serta menurunkan kadar jenayah di Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
