Bazar Seni 2025 ‘Camaraderie’ rai semangat kebersamaan menerusi seni

MUZIUM dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia (BNM MAG) secara rasmi melancarkan Bazar Seni 2025 dengan tema ‘Camaraderie: Makin Erat, Makin Sepakat’ bermula 23 September lalu hingga esok.
Pengarahnya, Noreen Zulkepli berkata, seni memiliki kuasa untuk menyatukan insan dengan cara yang jarang dapat dicapai menerusi wadah lain.

“Melalui Bazar Seni tahun ini, kami berharap dapat memupuk rasa kebersamaan dan hubungan, sekali gus membolehkan pengunjung menikmati hasil karya kreatif.
“Selain itu, penyertaan pengunjung juga dilihat mampu menyumbang kepada semangat kebersamaan (camaraderie) melalui interaksi serta aktiviti yang bermakna,” katanya.
Acara tahunan itu mengetengahkan kepentingan jalinan hubungan sesama insan melalui seni dan kreativiti, malah tema ‘Camaraderie’ mendorong para pengkarya seni yang mengambil bahagian untuk meneroka inti pati hubungan kemanusiaan.
Bazar Seni tahun ini menampilkan 26 pengkarya tempatan, antaranya Luqman Ismail, Danielle Lin, Shasha Jamal, Carissa Gan, Sabariah Mohamed Daud, Lim Anuar, Mubarak Jamil, Tya Ramli, Amanda Vashti, Rishya Roslan, Nur Shazwanie, SM Raja, Balqis Tajalli, Jean Lynn Chang, Suhaimie Ramly, Azman Nor, Asyraf Hidayat, Saharom Ab Latif, Aliff Danial, Alie Castello dan bakat-bakat BNM.
Para pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai hasil karya seni di bazar tersebut pada harga tidak melebihi RM2,500 bagi memastikan tawaran yang berpatutan dan mudah diperoleh untuk semua.
Bazar tersebut turut menawarkan batik buatan tangan, kraf seni tempatan dan sajian ringan daripada peniaga tempatan yang menambahkan lagi kemeriahan suasana.
Antara tarikan utama termasuk demonstrasi seni langsung oleh para pengkarya, reruai interaktif dan juga mural kolaboratif ’Togetherness’, yang membuka peluang kepada para pengunjung untuk melukis di atas satu kanvas.
Ringkasan AI
- Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia melancarkan Bazar Seni 2025 dengan tema 'Camaraderie: Makin Erat, Makin Sepakat'
- Seni dianggap sebagai medium untuk menyatukan manusia dalam cara yang unik
- Acara ini bertujuan untuk memupuk rasa kebersamaan melalui aktiviti dan interaksi
- Bazar Seni menampilkan karya 26 pengkarya tempatan dengan harga karya maksimum RM2,500
- Bazar menyediakan batik buatan tangan, kraf seni tempatan, sajian ringan lokal, dan aktiviti seperti demonstrasi seni serta mural kolaboratif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

