KKM nafi dakwaan vaksin, paracetamol punca autisme

WHO mengesahkan paracetamol selamat digunakan ketika hamil mengikut dos dan nasihat doktor. Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Mahathar)
WHO mengesahkan paracetamol selamat digunakan ketika hamil mengikut dos dan nasihat doktor. Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Mahathar)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menepis dakwaan bahawa pemberian vaksin kanak-kanak dan penggunaan paracetamol semasa hamil menjadi punca autisme.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah berulang kali menegaskan tiada bukti saintifik yang mengaitkan vaksin dengan autisme, malah vaksin terbukti menyelamatkan sekurang-kurangnya 154 juta nyawa dalam tempoh 50 tahun lalu.

Menurutnya, vaksin kini melindungi masyarakat daripada lebih 50 jenis penyakit berjangkit.

"Autisme merupakan spektrum penyakit gangguan perkembangan otak yang berterusan dan kekal, melibatkan hampir 62 juta orang di seluruh dunia.

"Punca sebenar autisme masih belum difahami sepenuhnya, namun ia dipercayai berpunca daripada faktor biologi, genetik dan persekitaran, bukan vaksin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas penggunaan paracetamol ketika hamil, beliau berkata, WHO turut mengesahkan ubat itu selamat digunakan mengikut dos dan nasihat doktor.

"Paracetamol sudah lama digunakan secara meluas termasuk wanita hamil. Berdasarkan garis panduan klinikal terkini, ia kekal antara pilihan paling selamat jika diambil pada dos terendah yang berkesan serta untuk tempoh sesingkat mungkin,” katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan folinic acid (leucovorin) mampu merawat autisme, Dr Mahathar menegaskan bahawa bukti saintifik masih terhad kepada kajian kecil dan belum boleh dianggap sebagai rawatan standard.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tanpa asas saintifik kukuh, selain menegaskan komitmen KKM memastikan semua ubat dan vaksin selamat serta berkesan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kementerian Kesihatan Malaysia menepis dakwaan vaksin dan paracetamol semasa hamil punca autisme
  • WHO tegaskan tiada bukti vaksin berkaitan autisme, vaksin selamatkan 154 juta nyawa dalam 50 tahun
  • Vaksin kini melindungi daripada lebih 50 jenis penyakit berjangkit
  • Autisme adalah gangguan perkembangan otak, punca sebenar belum difahami sepenuhnya tetapi tidak berkait dengan vaksin
  • Paracetamol selamat untuk wanita hamil jika digunakan dengan dos yang disarankan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!