Fahmi ucap takziah pemergian pengarah filem Ejen Ali

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga pengarah filem animasi Ejen Ali, Andi Abdul Ghani Kadir yang meninggal dunia pagi semalam.
Menerusi catatan di Facebook, Fahmi menyifatkan pemergian Allahyarham Andi Abdul, 42, sebagai kehilangan besar buat industri kreatif tanah air.
"Takziah kepada keluarga Allahyarham Andi Abdul Ghani Kadir, pengarah filem animasi Ejen Ali, yang telah kembali ke Rahmatullah. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat industri kreatif tanah air.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Saya doakan semoga keluarga beliau tabah dan sabar dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintenden D Ravi berkata, kereta jenis Perodua Ativa yang dinaiki mangsa bersama isterinya sedang dalam perjalanan dari Tawau ke Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, kenderaan itu yang dipandu isteri Allahyarham dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan dan pengarah filem tersebut keluar daripada kereta dan terjun ke dalam Sungai Kampung Batu Puteh.
Mayat Andi Abdul ditemukan pada 11.15 pagi semalam. - Bernama
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Andi Abdul Ghani Kadir, pengarah Ejen Ali yang meninggal dunia
- Pemergian Andi Abdul, berusia 42 tahun, dianggap kehilangan besar untuk industri kreatif Malaysia
- Ketua Polis Daerah Kinabatangan melaporkan kereta Perodua Ativa yang dinaiki Andi Abdul bersama isteri terbabas sebelum Andi Abdul terjun ke Sungai Kampung Batu Puteh
- Mayat Andi Abdul ditemukan pada 11.15 pagi semalam
- Fahmi berdoa agar roh Andi Abdul dicucuri rahmat dan keluarganya diberikan ketabahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
