11,101 kenderaan telah didaftar dalam SKPS - Fuziah

PENAMPANG - Sebanyak 11,101 kenderaan telah didaftarkan dalam Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) melibatkan 4,412 syarikat sejak pendaftaran dibuka pada 15 September hingga semalam, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata, angka itu merangkumi kira-kira 11 peratus daripada 100,000 kenderaan yang dianggarkan layak untuk didaftarkan, melibatkan 21 kategori pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan.
Justeru, beliau menyeru supaya syarikat kenderaan perdagangan untuk segera mendaftar kenderaan masing-masing dalam SKPS bagi menikmati subsidi petrol RON95 menerusi SKPS bermula Selasa depan (30 September).
"Pendaftaran itu agak mudah sebab daripada pihak KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) mereka hanya memohon secara dalam talian, tetapi selepas KPDN meluluskan, syarikat (minyak) perlukan masa untuk mengeluarkan kad itu (Fleet Card).
"Ini kita risau kalau daftar saat akhir, kalau mereka mohon kad tunai pun ambil masa lima hari (kad dikeluaran syarikat). Kalau (daftar) hari ini pun tidak sempat 30 September. Jadi daftarlah cepat,” katanya.
Beliau berkata, kepada pemberita selepas meninjau persiapan pelaksanaan SKPS di sebuah stesen minyak di sini hari ini.
Fuziah berkata, syarikat terlibat memerlukan masa lima hingga 14 hari untuk mengeluarkan kad berkenaan bergantung kepada jenis kad terlibat antaranya kad tunai dan kad prabayar. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 11,101 kenderaan dari 4,412 syarikat telah didaftarkan dalam Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi sejak pendaftaran dibuka
- Angka pendaftaran tersebut hanya merangkumi kira-kira 11 peratus dari anggaran 100,000 kenderaan layak
- SKPS dibuka untuk 21 kategori pengangkutan awam dan barangan
- Timbalan Menteri menyeru syarikat kenderaan perdagangan untuk segera mendaftar bagi menikmati subsidi petrol RON95
- Pendaftaran SKPS dilakukan secara dalam talian dan syarikat minyak memerlukan masa lima hingga 14 hari untuk mengeluarkan kad subsidi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
