Adam Adli anggap tiket Piala Asia Futsal sinar baharu akar umbi

MALAYSIA menamatkan penantian lapan tahun untuk kembali bersaing di pentas Asia selepas mengesahkan slot ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta sekali gus menandakan era kebangkitan baharu futsal negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim menyifatkan pencapaian skuad kendalian jurulatih dari Thailand, Rakphol Sainetngam sebagai satu detik bersejarah dan titik tolak kebangkitan buat arena futsal tanah air.
“Ini satu langkah besar untuk kita. Kita tahu sebelum ini kita pernah layak ke kejuaraan-kejuaraan dunia, cuma selepas itu ada tempoh rehat yang agak lama. Sekarang kita sedang membuat kemunculan semula.
“Saya harap FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan semua yang terbabit sudah bersedia dengan apa yang sepatutnya serta memberi tumpuan kerana kejayaan ini mampu mencetuskan semula semangat peminat di peringkat akar umbi,” katanya pada Khamis.
Skuad negara mengesahkan slot ke Jakarta selepas menutup kempen kelayakan dengan rekod dua kemenangan dan satu kekalahan. Malaysia memulakan langkah bergaya apabila menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0, kemudian membelasah Bangladesh 7-1, sebelum tunduk 0-4 kepada gergasi Asia, Iran pada aksi terakhir.
Dengan kelayakan itu, Malaysia kini menyertai dua lagi kuasa futsal ASEAN, Thailand dan Vietnam, yang masing-masing muncul juara Kumpulan B dan E.
Adam menegaskan, futsal adalah sukan komuniti yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia, namun selama ini ramai pemain muda sukar melihat hala tuju jelas untuk mengembangkan karier mereka.
“Kita tahu futsal ini sukan akar umbi yang sangat popular dan ramai anak muda ingin terus bermain, tetapi kadang-kadang mereka tidak nampak masa depannya. Jadi, apa yang dicipta pasukan futsal negara ketika ini adalah satu sinar baharu untuk kita semua,” ujarnya.
Ringkasan AI
- MALAYSIA menamatkan penantian lapan tahun untuk kembali ke pentas Asia dengan layak ke Piala Asia Futsal 2026 di Jakarta
- Era kebangkitan baharu futsal negara dimulakan dengan pencapaian ini
- Skuad negara mengesahkan slot kelayakan dengan dua kemenangan dan satu kekalahan
- Malaysia menyertai Thailand dan Vietnam sebagai wakil ASEAN
- Kelayakan ini dilihat sebagai sinar baharu untuk pemain muda mengembangkan karier dalam futsal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
