Dron dari Yemen serang bandar pelancongan Israel, 50 cedera termasuk 3 parah

Sebuah dron terbang merentasi ruang udara Eilat di selatan negara itu. Foto Agensi
Sebuah dron terbang merentasi ruang udara Eilat di selatan negara itu. Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV – Sekurang-kurangnya 50 orang cedera selepas sebuah dron dilancarkan dari Yemen menghentam bandar pelancongan Eilat di selatan Israel, awal pagi Khamis.

Perkhidmatan ambulans nasional Israel mengesahkan antara mangsa yang cedera, tiga daripadanya dilaporkan parah.

Akhbar harian Yedioth Ahronoth melaporkan dron tersebut mengenai kawasan berhampiran pusat beli-belah Mall Hayam, sebuah lokasi tumpuan pelancong di bandar Laut Merah itu.

Tentera Israel dalam kenyataan turut mengesahkan serangan berkenaan, menyatakan dron berkenaan dilancarkan dari Yemen dan berjaya mendarat di Eilat walaupun usaha pemintasan telah dilakukan.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mendakwa pihaknya melancarkan “operasi ketenteraan berkualiti menggunakan dua dron” dengan sasaran dua lokasi di Eilat dan kedua-duanya “mengenai sasaran dengan jayanya”.

Serangan itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak antara Israel dan kumpulan Houthi yang saling berbalas serangan sejak beberapa bulan lalu, di tengah-tengah krisis berterusan akibat tindakan Israel di Gaza yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Minggu lalu, jet pejuang Israel melancarkan serangan udara ke atas sasaran Houthi di bandar pesisir Hodeidah manakala serangan di ibu negara Yemen, Sanaa bulan lalu telah mengorbankan 12 pegawai kanan Houthi termasuk Perdana Menteri, Ahmed al-Rahawi serta sembilan menteri lain.

Kumpulan Houthi yang menguasai sebahagian besar wilayah Yemen sebelum ini berikrar untuk terus menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin dan meningkatkan serangan ke atas Israel. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sekurang-kurangnya 50 orang cedera selepas dron dilancarkan dari Yemen menghentam bandar pelancongan Eilat di Israel
  • Tiga mangsa dilaporkan cedera parah
  • Dron tersebut mengenai kawasan berhampiran pusat beli-belah Mall Hayam di Eilat
  • Tentera Israel mengesahkan serangan itu, menyatakan dron dilancarkan dari Yemen
  • Serangan ini menyebabkan ketegangan antara Israel dan kumpulan Houthi bertambah memuncak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!