Carsome lancar Pakej Rakyat serendah RM199 sebulan

CARSOME Group Inc (Carsome), platform e-dagang kereta terbesar di Asia Tenggara, meraikan ulang tahun ke-10 dengan melancarkan Pakej Rakyat yang menawarkan kereta terpakai berkualiti tinggi serendah RM199 sebulan menerusi Carsome Value Plus.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pencapaian Carsome membuktikan peranan syarikat swasta dalam menjadikan pemilikan kereta lebih mudah dicapai, selamat dan telus.
“Kami berharap lebih banyak inisiatif sektor swasta dapat bekerjasama dengan kerajaan bagi meningkatkan mobiliti untuk semua rakyat Malaysia,” katanya yang turut menyempurnakan majlis pelancaran bersama kepimpinan Carsome di sini pada Rabu malam.
Majlis pelancaran rasmi disempurnakan Anthony Loke bersama Pengasas Bersama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng serta Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy, Teoh Jiun Ee, sempena sambutan ulang tahun ke-10 syarikat itu.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo pula menyifatkan Carsome adalah contoh syarikat tempatan yang berjaya berkembang di peringkat nasional dan serantau sambil membina kejayaan dari Malaysia untuk rakyat Malaysia.
“Tahniah kepada Carsome atas ulang tahun ke-10. Kami menantikan perkembangan berterusan serta kerjasama syarikat ini dalam memajukan masa depan digital negara,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengasas Bersama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, kejayaan syarikat itu mencapai usia 10 tahun memberi peluang untuk memberi kembali kepada rakyat yang menyokong perjalanan mereka sejak awal.
“Dengan Pakej Rakyat, kami meraikan dekad inovasi dengan menjadikan pemilikan kereta benar-benar mampu milik dan mudah dicapai untuk semua rakyat Malaysia, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk pekerjaan, keluarga dan kemajuan,” katanya.
Menurut Carsome, Pakej Rakyat mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong agenda negara berkaitan akses mobiliti dan keterangkuman kewangan, sekali gus membantu rakyat memiliki kereta terpakai mampu milik dan dipercayai.
Antara tawaran dalam pakej itu termasuk kereta terpakai berkualiti tinggi serendah RM199 sebulan di bawah rangkaian Carsome Value Plus yang boleh diperoleh melalui aplikasi, laman web serta bilik pameran di seluruh negara.
Selain itu, pelanggan juga menikmati waranti percuma setahun dan baucar servis diskaun untuk kenderaan yang dibeli mulai sekarang hingga 31 Disember 2025, manakala pembiayaan dalaman terbaik ditawarkan melalui Carsome Capital.
Sepanjang 10 tahun, Carsome berkembang daripada jenama kelahiran Malaysia kepada peneraju serantau dengan operasi di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Syarikat itu turut mengendalikan fasiliti baik pulih kereta terbesar di Asia Tenggara yang menghasilkan kenderaan berkualiti di bawah jenama Carsome Certified.
Ekosistem Carsome merangkumi pemeriksaan, baik pulih, jualan runcit, pembiayaan, insurans, waranti, pendidikan melalui Carsome Academy serta perkhidmatan selepas jualan.
Kini, Kumpulan Carsome menarik lebih 15 juta pengguna setiap bulan melalui ekosistemnya yang disokong oleh platform media dan kandungan seperti Carsome, Carlist, WapCar serta Carsome Academy.
Ringkasan AI
- Carsome melancarkan Pakej Rakyat yang menawarkan kereta terpakai berkualiti tinggi serendah RM199 sebulan
- Menteri Pengangkutan dan Menteri Digital memuji sumbangan Carsome dalam memudahkan pemilikan kereta dan memajukan masa depan digital
- Pakej Rakyat mencerminkan komitmen Carsome dalam menyokong akses mobiliti dan keterangkuman kewangan di Malaysia
- Carsome berkembang menjadi peneraju serantau dengan operasi di empat negara Asia Tenggara dan mengendalikan fasiliti baik pulih kereta terbesar di kawasan itu
- Ekosistem Carsome menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pemeriksaan, baik pulih, jualan runcit, pembiayaan, insurans, dan pendidikan melalui Carsome Academy
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

