Jurulatih harimau maut diterkam ketika buat persembahan

OKLAHOMA – Seorang jurulatih harimau yang pernah bekerjasama dengan bintang dokumentari Netflix 'Tiger King', Joe Exotic, maut selepas diserang harimau ketika mengadakan persembahan di sebuah pusat pusat pemuliharaan haiwan di tenggara Oklahoma.
Mangsa, Ryan Easley, maut dalam insiden di Growler Pines Tiger Preserve, Hugo, Oklahoma, pada Sabtu, 20 September, menurut kenyataan rasmi pusat pemuliharaan itu.
Sherif Daerah Choctaw, Terry Park berkata, Easley ketika itu berada di dalam kandang besar bersama seekor harimau peliharaannya semasa membuat persembahan sebelum haiwan berkenaan tiba-tiba menggigit dan menggoncang tubuhnya.
“Serangan itu berlaku secara mengejut ketika persembahan hampir tamat. Harimau berkenaan sudah lama dipelihara mangsa,” katanya.
Media tempatan melaporkan Easley tidak lagi bernafas ketika anggota keselamatan tiba di lokasi.
Isteri mangsa dilaporkan bertindak berani masuk ke dalam kandang bagi memindahkan harimau ke ruang lain selepas serangan berlaku.
Pertubuhan hak haiwan PETA mengecam penggunaan haiwan liar dalam hiburan manusia.
“Serangan seperti ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Harimau ialah pemangsa utama dan tidak seharusnya dijadikan bahan tontonan.
"Sudah tiba masanya haiwan-haiwan ini dibawa ke pusat perlindungan bertauliah,” kata Pengarah Kanan PETA, Debbie Metzler.-Agensi
Ringkasan AI
- Seorang jurulatih harimau di Oklahoma, yang pernah bekerjasama dengan Joe Exotic dari Netflix 'Tiger King', maut diserang harimau
- Insiden berlaku di Growler Pines Tiger Preserve, Hugo, Oklahoma
- Easley diserang semasa membuat persembahan di dalam kandang harimau
- Harimau tersebut sudah lama dipelihara oleh mangsa
- PETA mengecam penggunaan haiwan liar dalam hiburan manusia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

