Empat motosikal bergesel, dua penunggang maut

ISKANDAR PUTERI - Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal yang bergesel sesama sendiri di Kilometer 1.7 Lebuh Raya Linkedua arah selatan, di sini pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa warga tempatan berusia 30 dan 31 tahun itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala selain patah tangan kanan dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi.
"Hasil siasatan mendapati empat penunggang motosikal berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke Singapura dan bergerak di lorong sebelah kanan, sebelum mereka bergesel sesama sendiri.
"Akibat daripada perlanggaran terbabit, kesemua penunggang motosikal telah terbabas di lorong yang sama dan menyebabkan dua daripadanya meninggal dunia di lokasi kemalangan, manakala dua yang lain masih mendapat rawatan di hospital kerana cedera," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Kumarasan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan ini boleh menghubungi bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik daerah (BSPTD) Iskandar Puteri melalui talian 07-5101322," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan empat motosikal di Lebuh Raya Linkedua
- Mangsa berusia 30 dan 31 tahun mengalami kecederaan parah pada kepala dan patah tangan kanan
- Empat penunggang motosikal dalam perjalanan ke Singapura bergesel sesama sendiri
- Dua meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi cedera dan dirawat di hospital
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
