[VIDEO] Abuya didakwa enam lagi pertuduhan amang seksual pelajar
PASIR MAS - Seorang mudir di sebuah madrasah di Tumpat dikenali sebagai Abuya didakwa dengan enam lagi pertuduhan amang seksual membabitkan seorang pelajar lelaki sejak Mac hingga Jun lalu di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu.
Tertuduh, Muhammad Aswadi Yah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh yang merupakan guru agama didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah dan sebuah masjid di Kubang Batang, Wakaf Bharu, Tumpat antara jam 12 tengah hari hingga 5.30 petang dari 3 Mac hingga 9 Jun lalu.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Irwan Sumadi.
Siti Aiysha memohon mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan, manakala Mohd Irwan memohon jaminan minimum dengan alasan anak guamnya sebelum ini sudah dikenakan jaminan RM45,000 atas tujuh pertuduhan amang seksual melibatkan dua pelajar lelaki selain memiliki gambar lucah pada 11 September lalu di mahkamah sama.
“Anak guam saya juga dikenakan jaminan RM18,000 bagi kes di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 18 September. Jumlah keseluruhan ialah RM63,000 walaupun kes berbeza, ia perlu diambil kira,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tidak mengganggu saksi serta perlu melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Tertuduh membayar jaminan tersebut. Mahkamah menetapkan 11 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan pada 11 September lalu, Muhammad Aswadi berdepan tujuh pertuduhan amang seksual terhadap dua pelajar lelaki serta memiliki gambar lucah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas.
Pada 18 September, dia turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dua lagi pertuduhan amang seksual membabitkan seorang pelajar tahfiz berusia 14 tahun.
Ringkasan AI
- Mudir madrasah di Tumpat dikenali sebagai Abuya didakwa melakukan amang seksual terhadap pelajar lelaki 14 tahun
- Muhammad Aswadi Yah, 46, mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan amang seksual
- Kesalahan dilakukan di dua lokasi berasingan di Kubang Batang, Wakaf Bharu, Tumpat dari Mac hingga Jun
- Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan
- Jaminan RM20,000 diperkenankan dengan syarat tidak mengganggu saksi dan melaporkan diri setiap bulan di balai polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

