Pengusaha kilang beri maklumat palsu untuk dapatkan pengecualian!

No Image Caption
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang pengusaha kilang acuan barangan plastik di kawasan Perindustrian Lukut dekat sini kerana disyaki memberi maklumat palsu bagi mendapatkan pengecualian Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, maklumat disyaki palsu telah diberikan pengusaha berumur 54 tahun itu ketika polis melakukan serbuan ke atas premis tersebut pada 4 petang semalam.

“Sepasukan Petugas Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Daerah Kota Tinggi melakukan serbuan berdasarkan aduan orang ramai yang mendapati kilang itu masih beroperasi dan tidak mematuhi kategori yang dibenarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama kerana memberikan maklumat palsu kepada polis untuk mendapatkan pengecualian Perintah Kawalan Pergerakan.

“Jika sabit kesalahan, pengusaha itu boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ahsmon berkata, Kementerian Kesihatan pula membuka siasatan mengikut Peraturan 5(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 ke atas pengusaha kilang itu.

Beliau berkata, jika sabit kesalahan, pengusaha itu boleh dipenjara enam bulan atau didenda RM1,000 atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Artikel Berkaitan: