Projek COVO dibangunkan IOI Properties raih sambutan hangat

IOI Properties Group Berhad (IOIPG) meraikan majlis pemasangan struktur tertinggi (topping out) bagi COVO, projek pembangunan berorientasikan transit pertamanya di perbandaran 16 Sierra seluas 535 ekar di Puchong South, baru-baru ini.
COVO merupakan komuniti moden yang menawarkan 601 unit pangsapuri perkhidmatan di menara kediaman 38 tingkat (Menara A) dan blok kediaman bertingkat rendah (Menara B), serta akses laluan bertutup terus ke stesen MRT 16 Sierra.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan IOIPG, Teh Chin Guan berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua rakan niaga, para pembeli dan pasukan IOI atas kerjasama dalam merealisasikan visi syarikat untuk COVO.

“Pencapaian ini menggambarkan komitmen IOIPG terhadap penyerahan tepat pada masa di samping meneruskan usaha pembangunan berdaya huni di seluruh Malaysia, Singapura dan China.
“Ketersambungan lancar dari COVO ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), serta lokasinya yang strategik, menyaksikan ia menerima sambutan menggalakkan dengan kadar pengambilan mencecah 65 peratus setakat ini.
“Menara B telah habis terjual manakala Menara A menyaksikan jualan pantas. Kemajuan pembinaan kini mencapai 68 peratus, mendahului jadual, dan dijangka siap menjelang Mei 2027,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, COVO yang dilancarkan pada Mei 2024 menampilkan unit bersaiz antara 550 hingga 1,130 kaki persegi dengan pilihan susun atur 1+1, 3 dan 4 bilik tidur.
“Reka bentuk ruang tamu, makan dan dapur yang terbuka serta harga permulaan lebih rendah sesuai untuk golongan profesional muda, pasangan pengantin baharu dan keluarga yang sedang berkembang.
“Unit terpilih turut menikmati akses terus ke tempat letak kereta betul-betul di hadapan pintu utama seperti kediaman bertanah,” katanya.
COVO turut menonjolkan ketersambungan MRT yang baik dengan masa perjalanan kurang daripada 40 minit ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur atau KLIA.
Ia juga merupakan projek bangunan tinggi pertama IOIPG yang mendapat pensijilan GreenRE dan dilengkapi petak pengecasan kenderaan elektrik (EV) untuk menggalakkan mobiliti hijau, sekali gus menzahirkan komitmen syarikat terhadap pembangunan mampan.
Pembangunan ini turut diiktiraf Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) atas prestasi keselamatan dan kesihatan, dengan skor 97.11 peratus dalam penanda aras Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC).
Sebagai sebahagian daripada perbandaran 16 Sierra, COVO mendapat manfaat daripada pelan induk perbandaran terancang yang komprehensif, khususnya kedudukan eksklusif sebagai dataran tinggi dengan pemandangan jelas dari Lookout Point 16 Sierra yang menawarkan panorama matahari terbenam menakjubkan.
Selain itu, perbandaran ini menampilkan pelbagai kemudahan rekreasi serta inisiatif place-making termasuk Central Park seluas 7.2 ekar dengan tarikan seperti zon mesra haiwan peliharaan, taman pelangi, taman komuniti, mini skate park, kawasan permainan pasir, gelanggang bola keranjang dan futsal.
Tidak ketinggalan, Amigo Clubhouse menyediakan kemudahan eksklusif untuk penduduk seperti gimnasium, bilik kecergasan, kolam renang utama, gelongsor air, tipping buckets dan gelanggang badminton.
Amigo Social Club pula menawarkan empat gelanggang pickleball, 2nd Round Cafe dan sebuah parklet sebagai mini-oasis untuk penduduk serta pengunjung bersantai dalam suasana tenang.
Lokasi strategik perbandaran ini turut menawarkan akses mudah ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Maju (MEX) dan Damansara-Puchong (LDP), menjadikannya mudah dihubungkan dengan Putrajaya, Puchong dan Kuala Lumpur.
Ringkasan AI
- IOI Properties Group Berhad merayakan pemasangan struktur tertinggi untuk COVO, projek orientasi transit pertama di Puchong South
- COVO menawarkan 601 unit pangsapuri dengan akses langsung ke stesen MRT 16 Sierra
- Ketersambungan lancar ke Kuala Lumpur dan KLIA, dengan kadar pengambilan 65%
- Projek mendapat pensijilan GreenRE dan dilengkapi pengecasan kenderaan elektrik
- Merupakan sebahagian dari perbandaran 16 Sierra, menikmati pelbagai kemudahan rekreasi dan akses mudah ke lebuhraya utama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

