Penyimpanan tahi ayam punca pencemaran Sungai Bekok

BATU PAHAT – Insiden ikan mati di Sungai Bekok, Yong Peng di sini dipercayai berpunca daripada aliran air hitam berbau busuk yang datang daripada tapak penyimpanan tahi ayam di sebuah ladang ternakan.
Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar, siasatan dijalankan oleh pasukan penguat kuasa Cawangan Batu Pahat pada Isnin setelah menerima aduan orang awam.
"Pemeriksaan menyusuri aliran Sungai Temehel ke arah hulu Sungai Bekok mendapati terdapat alur air berwarna hitam yang disyaki menjadi punca pencemaran.
“Penyimpanan tahi ayam di tapak ternakan itu tidak dikawal selia dengan baik hingga menyebabkan kacau ganggu awam serta mencemari air sungai,” katanya dalam kenyataan di Facebook JAS pada Selasa.
Surat pemakluman juga telah dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut kerana aktiviti ternakan tidak dikuatkuasakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Pada Isnin, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengambil maklum aduan berhubung pencemaran di Sungai Bekok dan telah menjalankan siasatan di lokasi terbabit.
Exco Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Ling Tian Soon berkata, pegawai dari JAS Batu Pahat telah berjumpa dengan pengadu sebelum dibawa ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan.
Menurut kenyataan itu, JAS juga telah meminta Majlis Daerah Yong Peng dan Jabatan Veterinar Johor di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk menjalankan siasatan bersama.
Ringkasan AI
- Insiden ikan mati di Sungai Bekok, Yong Peng disebabkan oleh aliran air hitam dari tapak penyimpanan tahi ayam di sebuah ladang ternakan
- Pasukan penguat kuasa Cawangan Batu Pahat memulakan siasatan setelah menerima aduan dari orang awam
- Penyimpanan tahi ayam di ladang ternakan tidak dikawal selia dengan baik, mencemari air dan menyebabkan kacau ganggu awam
- JAS telah menghantar surat pemakluman kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut
- JAS, Majlis Daerah Yong Peng dan Jabatan Veterinar Johor menjalankan siasatan bersama atas aduan pencemaran tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

