Bob Manolan mohon maaf kepada semua tok batin

Bob Manolan
Bob Manolan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohd hari ini memohon maaf kepada semua tok batin dan pihak yang tersinggung dengan kenyataan mencadangkan agar kerajaan pusat tidak membayar gaji tok batin yang tidak menyokong dasar PH.

Menurutnya, beliau tiada niat menyinggung perasaan mereka jauh sekali menimbulkan ugutan sedangkan beliau mempertahankan institusi tok batin sejak dulu lagi malah membela nasib mereka yang pernah dipecat oleh kerajaan terdahulu.

Tambahnya, beliau juga menyedari kenyataannya itu bukan sahaja mengguris perasaan tok batin malah tidak disenangi pimpinan PH kerana prinsip kerajaan yang mempertahankan amalan demokrasi.

“Sehubungan itu, saya dengan ini melahirkan rasa kesal di atas ketelanjuran kata yang boleh ditafsirkan sebagai satu ugutan kepada tok batin.

“Namun, saya masih berpegang kepada prinsip bahawa semua ketua kampung atau tok batin sewajarnya menyokong dasar kerajaan yang memerintah agar perlaksanaan dasar kerajaan boleh dicapai dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya berjanji akan terus memperjuangkan nasib kaum Orang Asli sejajar dengan peranan yang diberikan kepada saya oleh parti dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sekiranya diteliti ucapannya di Pos Betau, Cameron Highlands baru-baru ini, Bob Manolan menyatakan beliau banyak menjelaskan pentingnya peranan tok batin menjalankan semua dasar kerajaan sekarang.

Begitupun, ungkapan mana-mana tok batin yang tidak menyokong PH selaku kerajaan memerintah tidak seharusnya dibayar gaji, beliau mengakui ia ucapan yang agak keterlaluan kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan boleh dianggap sebagai ugutan.

Artikel Berkaitan:

“Perkara pokok yang mahu saya jelaskan kepada mereka adalah bahawa sewajarnya tok batin yang dilantik oleh kerajaan mestilah membantu kerajaan di dalam apa jua dasar berkaitan kepentingan dan kebajikan masyarakat Orang Asli.

“Bagaimana mungkin dasar kerajaan yang mahu membela nasib Orang Asli dapat dilakukan oleh kerajaan sekiranya tok batin yang dilantik itu terdiri dari Ketua Cawangan Umno yang secara jelas adalah parti yang menentang kerajaan.

“Peraturan ini juga terpakai kepada semua pegawai kerajaan di mana seharusnya tiada sikap ‘kepartian’ di dalam diri mereka sewaktu memegang jawatan yang diamanahkan kepada mereka,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk pimpinan parti yang telah memberikan nasihat dan teguran kepadanya.

Bob Manolan dikatakan mengeluarkan kenyataan mengugut tok batin ketika dalam satu perjumpaan dan sesi dialog bersama tok batin di perkampongan Orang Asli di Pos Betau, Cameron Highlands baru-baru ini.

Kenyataannya itu mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memberi respons terhadap kenyataan beliau.