Lebih 13 juta rakyat Malaysia sudah tebus SARA

GEORGE TOWN – Seramai lebih 13 juta rakyat Malaysia telah menggunakan kemudahan kredit Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membeli barangan keperluan asas setakat Sabtu lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun ramai penerima sudah menggunakan sepenuhnya kredit RM100 yang disediakan, masih terdapat sebahagian lagi yang mempunyai baki untuk dibelanjakan.
“Sehingga Sabtu, jumlah rakyat yang telah menebus kredit SARA melebihi 13 juta orang.
"Ada juga penerima yang tidak menggunakan kesemua RM100 sekali gus. Jika ada baki, mereka masih boleh berbelanja sehingga hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di Menara Hasil Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian kredit RM100 secara one-off melalui MyKad kepada rakyat berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu.
Bantuan itu boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember ini untuk membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai seluruh negara termasuk pasar raya besar seperti Mydin, Lotus, Econsave, 99Speedmart serta kedai runcit di semua daerah.
Ringkasan AI
- Lebih 13 juta rakyat Malaysia telah menggunakan kemudahan kredit Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
- Ramai penerima sudah menggunakan sepenuhnya kredit RM100 yang disediakan
- Terdapat sebahagian lagi penerima yang masih mempunyai baki untuk dibelanjakan
- Kredit RM100 ini diberikan melalui MyKad kepada rakyat berusia 18 tahun ke atas
- Bantuan boleh digunakan untuk membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai seluruh negara hingga 31 Disember
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

