Jangan tuduh dominan, ‘cermin diri dulu’ - Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dinasihatkan menilai semula tindak-tanduk partinya sebelum menuduh Pas cuba menjadi dominan dalam pakatan politik.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari secara sinis berkata, DAP sepatutnya 'cermin diri' terlebih dahulu kerana parti itu sendiri kebelakangan ini kerap menonjolkan sisi dominan dalam kerjasama politik yang dijalinkan.
"Saya kira Anthony kena beli cermin besar dan lihat sendiri wajah DAP. Saya tak nak ungkit cerita lama semasa Pas dan DAP sama-sama dalam Pakatan Rakyat.
"Walaupun itu cerita lama, tapi ramai masih ingat bagaimana saat DAP putuskan hubungan dengan Presiden Pas tetapi masih teruskan hubungan dengan Pas," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian bagi mengulas beberapa kenyataan Anthony yang menyifatkan Pas sukar mengekalkan hubungan baik dengan rakan sekutu politiknya apabila parti itu sering dilihat cuba mendominasi hingga mencetuskan pertelingkahan dalam gabungan.
Ahmad Fadhli berpandangan, meskipun Pas dan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat berbeza pandangan tentang pemilihan calon Perdana Menteri, namun perkara tersebut masih dalam ruang lingkup perbincangan selepas kedua-dua parti selesai mengadakan perhimpunan agung tahunan (PAT) masing-masing.
Tambahnya, Pas tidak seperti DAP yang sanggup menggerakkan ahli-ahlinya membuat laporan ke atas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sedangkan parti keramat itu rakan sekutu dalam kerajaan.
Malah, menurut beliau, hakikat bahawa tiada pemimpin utama UMNO yang tampil secara rasmi mempertahankan Ketua Pemuda UMNO apabila diserang jelas membuktikan betapa dominannya DAP.
"Walaupun bukan dalam satu pakatan politik rasmi tetapi bukankah beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini, DAP dan UMNO masing-masing setuju untuk tidak bertembung? Itulah pakatan politik namanya.
"Tiada grup WhatsApp, meja rundingan? Jawapannya ada tetapi kerana nak tunjuk dominan, DAP buat kenyataan secara terbuka bahawa laporan polis digerakkan seluruh negara ke atas beliau," ujarnya.
"Belum lagi ambil kira beberapa Bahagian UMNO di Wilayah Persekutuan yang isytihar putus hubungan secara rasmi dengan DAP. Eh siapa yang berkonflik, rumah siapa sedang runtuh ini? Anthony, beli cermin ya!" bidas Ahmad Fadhli.
Ringkasan AI
- Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dinasihatkan menilai semula tindakan partinya sebelum menuduh Pas
- Ketua Penerangan Pas meminta DAP 'cermin diri' atas sikap dominan dalam kerjasama politik
- Pas dan DAP pernah mengalami keretakan hubungan meskipun terus berhubungan selepas terputus dari Pakatan Rakyat
- Pas berbeza pandangan dengan Bersatu tentang pemilihan Perdana Menteri tetapi masih dalam perbincangan
- DAP dikritik kerana membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO walau UMNO adalah sekutu dalam kerajaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


