Empat nelayan dicekup positif dadah di laut

MUAR – Seramai empat nelayan tempatan ditahan dalam Operasi Bersepadu yang dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Johor di perairan Tanjung Emas, di sini, mulai Khamis hingga Jumaat baru-baru ini.
Menurut Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal, kesemua nelayan tersebut ditahan setelah disahkan positif dadah ketika pemeriksaan dilakukan.
“Pada operasi bersepadu kali ini, sebanyak tujuh vesel nelayan tempatan diperiksa sepanjang operasi dua hari itu.
“Seramai empat nelayan berusia dalam lingkungan 40 hingga 50 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine hasil pemeriksaan dan saringan air kencing yang dilakukan ketika pemeriksaan.
“Kesemua mereka yang ditahan diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Ahad.
Operasi yang disertai 12 pegawai AADK Negeri Johor dan Muar dengan diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Johor, Puan Zatul Rawihah Abdul Razak itu turut membabitkan Bot Penggalang 30 dan Bot Petir 85.
Difahamkan, dua daripada vesel yang ditahan kemudiannya dibebaskan dan diserahkan semula kepada pemilik masing-masing.
Sementara itu, Mohammad Zaini menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan operasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain dalam usaha memastikan perairan negara bebas daripada sebarang ancaman jenayah, termasuk penyalahgunaan dadah.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan di laut, malah memberi mesej jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 untuk tindakan segera,” katanya.
Ringkasan AI
- Empat nelayan tempatan ditahan kerana positif dadah dalam operasi Maritim Malaysia dan AADK di Tanjung Emas
- Nelayan tersebut berusia antara 40 hingga 50 tahun dan didapati positif Methamphetamine
- Tujuh vesel nelayan diperiksa sepanjang operasi yang berlangsung dua hari
- Empat nelayan yang positif diserahkan kepada AADK untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan
- Maritim Malaysia akan mempergiatkan operasi bersama agensi penguatkuasaan lain untuk memastikan perairan bebas daripada jenayah termasuk penyalahgunaan dadah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
