Pemantauan berkala perlu elak ketirisan

SHAH ALAM - Pelbagai inisiatif disediakan kerajaan yang memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital dilihat dapat membantu membanteras jenayah melibatkan rasuah.
Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM), Profesor Dr Hanim Salleh berkata, pelaksanaan sistem yang dibina sudah tentu akan berhadapan cabaran memastikan ketelusan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan.
Menurut beliau, cabaran perkembangan digital di era Revolusi Industri 4.0 ini membuka isu keselamatan data dan integriti yang memerlukan semakan berkala.
“Sistem e-perolehan dan e-tender umpamanya walaupun satu usaha yang baik, ianya masih boleh dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di mana rundingan boleh dijalankan di luar sistem itu sendiri.
“Jadi ruang penambahbaikan perlu dijalankan secara berkala dan dipantau bagi meningkatkan ketelusan tatakelola dalam perkhidmatan dan mengelakkan ketirisan,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Mengulas lanjut, Hanim berkata, syarikat-syarikat di Malaysia terutama pembida kontrak bernilai tinggi harus di wajibkan untuk memiliki sijil Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001 (ABMS).
Tambah beliau, kerajaan juga boleh menggalakkan persijilan antarabangsa ini dengan memberi insentif pengecualian cukai yang berpatutan.
“Sijil ini merupakan bukti komitmen syarikat terlibat terhadap budaya integriti, akauntabiliti dan ketelusan pengurusan organisasi.
“Jadi, ia menjadi satu nilai tambah kepada syarikat berkenaan untuk membida projek kerajaan bernilai tinggi,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga mencadangkan supaya laporan tahunan perolehan dilaporkan atau diletakkan sebagai domain awam agar rakyat tahu keadaan negara dan langkah itu penting dalam konteks anti rasuah.
Ringkasan AI
- Kerajaan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan sistem digital untuk membanteras jenayah rasuah
- Cabaran integriti dan keselamatan data memerlukan semakan berkala dalam era Revolusi Industri 4.0
- Sistem e-perolehan dan e-tender boleh dimanipulasi, memerlukan penambahbaikan dan pemantauan berkala
- Syarikat-syarikat perlu memiliki sijil Sistem Pengurusan Anti Rasuah ISO 37001 untuk meningkatkan ketelusan
- Kerajaan disarankan memberi insentif cukai kepada syarikat yang mendapat persijilan antarabangsa dan mempublikasikan laporan tahunan perolehan sebagai langkah antirasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
