Malaysia sasar bina tapak pelancar roket menjelang 2029

Pembangunan tapak pelancar roket adalah sebahagian daripada usaha merealisasikan Dasar Angkasa Negara 2030 yang menyasarkan sumbangan sekurang-kurangnya RM10 bilion kepada KDNK.

Azlikamil (tiga dari kiri) dan wakil penerima melihat sijil akuan penerimaan selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Lima Surau KAM di Surau Parit 5 Timur pada Sabtu.
Azlikamil (tiga dari kiri) dan wakil penerima melihat sijil akuan penerimaan selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Lima Surau KAM di Surau Parit 5 Timur pada Sabtu.
A
A
A

SUNGAI BESAR – Malaysia berpotensi menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai tapak pelancaran roket sendiri menjelang tahun 2029.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Datuk Azlikamil Napiah berkata, setakat ini terdapat tiga pihak yang menunjukkan minat membina launching pad di negara ini dengan cadangan lokasi di Sabah, Sarawak dan Pahang.

Menurutnya, pembangunan tapak pelancar roket adalah sebahagian daripada usaha merealisasikan Dasar Angkasa Negara 2030 yang menyasarkan sumbangan sekurang-kurangnya RM10 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Malaysia sedang bergerak ke arah menjadi peneraju industri angkasa rantau ini.

“Antara projek besar yang kita sasarkan ialah memiliki satelit pemerhatian bumi sendiri, membangunkan space city dan menyediakan perkhidmatan pelancaran roket dari tanah air,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Siap Kerja Projek Naik Taraf dan Baik Pulih Lima Surau Kampung Angkat Madani (KAM) di Surau Parit 5 Timur, di sini, pada Sabtu.

Azlikamil berkata, pelabur luar yang berminat perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan selain mendapat persetujuan kerajaan negeri memandangkan isu tanah adalah bidang kuasa negeri.

“Setakat ini, satu pihak sudah menghantar laporan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) lengkap minggu lalu, manakala dua lagi masih dalam proses.

“Penilaian akan dibuat dalam tempoh 90 hari selepas dokumen diserahkan,” tambah beliau.

Beliau menjelaskan, pembinaan tapak pelancaran di Malaysia memberi kelebihan besar kerana kedudukan negara di garisan Khatulistiwa yang membolehkan pelancaran roket dilakukan dengan lebih efisien dan menjimatkan kos bahan api.

Artikel Berkaitan:

“Kita sasarkan pembinaan hanya dapat dilaksanakan sekitar 2029 selepas semua proses penilaian, kelulusan serta persediaan infrastruktur selesai.

“Projek ini dilaksanakan secara kerjasama awam-swasta (PPP) dengan kerajaan dan pelabur berkongsi kos,” katanya.

Beliau menambah, selain membuka peluang pelaburan, pembangunan tapak pelancar roket juga bakal memberi kesan limpahan ekonomi kepada rakyat.

“Limpahan ekonomi ini melalui pembinaan infrastruktur, tenaga serta peluang pekerjaan baharu,” jelas beliau.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan KAM, Azlikamil berkata, sebanyak lima surau di Sungai Besar telah dibaik pulih bermula Jun lalu dan siap sepenuhnya pada Ogos dengan kos keseluruhan RM315,000 menggunakan peruntukan kerajaan.

Beliau menjelaskan, KAM adalah salah satu inisiatif nasional di bawah Malaysia Madani yang dirangka untuk memperkasa komuniti melalui pendekatan bersepadu, inklusif dan bersasar.

“Kerajaan memberi amanah kepada MYSA untuk melaksanakan projek ini dengan tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu membaik pulih infrastruktur, memperkasa ekonomi setempat dan melaksanakan program celik Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Antara yang berjaya kita laksanakan ialah membaik pulih lima surau, memperkenalkan tanaman melon, herba dan madu kelulut serta meneruskan penternakan ikan dalam kanvas yang sudah dijalankan komuniti sebelum ini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Malaysia berpotensi menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang mempunyai tapak pelancaran roket sendiri menjelang tahun 2029
  • Terapat tiga cadangan lokasi untuk tapak pelancaran di Sabah, Sarawak dan Pahang
  • Pembangunan tapak pelancar roket bertujuan merealisasikan Dasar Angkasa Negara 2030 dengan sumbangan kepada KDNK sekurang-kurangnya RM10 bilion
  • Pelabur luar perlu bekerjasama dengan syarikat tempatan dan mendapat persetujuan kerajaan negeri
  • Kedudukan Malaysia di garisan Khatulistiwa membolehkan pelancaran roket lebih efisien dan menjimatkan kos bahan api

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!