Malaysia khuatir penggunaan veto di Majlis Keselamatan PBB

Penggunaan veto hanya akan menggalakkan rejim Zionis Israel untuk terus melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan pemusnahan Gaza. - Gambar hiasan
Penggunaan veto hanya akan menggalakkan rejim Zionis Israel untuk terus melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan pemusnahan Gaza. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya menggalakkan rejim Israel untuk terus melakukan pembunuhan beramai-ramai dan pemusnahan Gaza, Palestin.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia amat khuatir dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan PBB pada Khamis yang sekali lagi menghalang majlis tersebut daripada meluluskan resolusi gencatan senjata serta-merta dan berkekalan.

Menurutnya, ini termasuk penghapusan tanpa syarat sekatan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Suruhanjaya Siasatan PBB dengan jelas menetapkan bahawa tindakan genosid sedang berlaku di wilayah Palestin yang diduduki.

“Penggunaan veto hanya akan menggalakkan rejim Zionis Israel untuk terus melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai dan pemusnahan Gaza.

“Malaysia berterusan mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis ini “ katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan PBB, menolak resolusi yang menuntut gencatan senjata segera tanpa syarat dan berkekalan di Gaza.

Ini merupakan kali keenam Washington menghalang usaha diplomatik global untuk menghentikan konflik yang telah meragut lebih 65,000 nyawa di wilayah bergolak itu.

Resolusi tersebut, yang dirangka oleh 10 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB, menerima sokongan 14 dari 15 negara anggota.

Artikel Berkaitan:

Ia turut menuntut pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas dan kumpulan lain, serta penghapusan sekatan terhadap penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan, Malaysia akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa ke arah mencapai keamanan dan keadilan buat rakyat Palestin, termasuk melalui penubuhan negara Palestin yang merdeka serta berdaulat.

“Ini berdasarkan persempadanan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan keanggotaan penuh Palestin ke PBB,” ujar kenyataan itu lagi.

Ringkasan AI

  • Penggunaan veto di Majlis Keselamatan PBB menggalakkan Israel lakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza
  • Malaysia khuatir dengan penggunaan veto yang menghalang resolusi gencatan senjata di Gaza
  • Suruhanjaya Siasatan PBB mendapati genosid berlaku di wilayah Palestin yang diduduki
  • Amerika Syarikat guna kuasa veto menolak resolusi gencatan senjata di Majlis Keselamatan PBB untuk kali keenam
  • Malaysia mahu bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa demi keamanan dan keadilan di Palestin, termasuk penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!