14 johan negeri berentap di SDPAHM peringkat kebangsaan

SHAH ALAM – Seramai 14 johan peringkat negeri akan berentap dalam Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) kali keenam di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh pada 20 September ini.
Sayembara yang dianjurkan Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta IPG Kampus Ipoh itu bakal dirasmikan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami.
Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, sayembara berkenaan bertujuan memupuk kecintaan terhadap sastera tanah air, khususnya dalam kalangan pelajar dan generasi muda.
"Sayembara ini akan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan persembahan puisi artistik untuk menanam minat dan kecintaan mereka terhadap sastera terutamanya puisi.
"Pendekatan ini merupakan satu bentuk reformasi dalam dunia deklamasi puisi tanah air bagi menyesuaikan dengan peredaran zaman serta perkembangan media sosial.
"Kami memberi kebebasan kepada peserta untuk menampilkan kreativiti tersendiri dalam menyampaikan puisi, asalkan selari dengan maksud sajak yang dibawakan dan diharap dapat menarik minat lebih ramai generasi muda kepada puisi dan sastera," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Bertemakan 'Puisi Harmoni dalam Kepelbagaian', pertandingan tersebut menyasarkan mesej perpaduan serta semangat Malaysia Madani merentasi kaum dan agama.
Semua peserta akhir telah membuat undian dan bakal mempersembahkan sajak daripada buku teks sayembara bertajuk 'Pohon Merdeka' terbitan Pemuisi.
Antara peserta yang akan beraksi ialah Nurul Izzah Andah dari Perlis, Ameerul Zafran Saiful Amir (Kedah), Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman (Negeri Sembilan), Akilul Nazar Arbain (Johor), Nor Atiekah Hidayah Hussain (Terengganu), Siti Nurain Farahiyah Sallehuddin (Pahang) serta peserta dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Kelantan.
Pemenang utama akan membawa pulang piala pusingan Seri Pemuisi Malaysia termasuk wang tunai, piala iringan, sijil penyertaan dan hadiah buku khas.
Dalam pada itu Radzuan turut menzahirkan rasa gembira apabila melihat penyertaan aktif anak muda dalam program sastera anjuran Pemuisi, termasuk pelajar kolej dan universiti.
"Ini bukti bahawa usaha kami mendekati generasi muda membuahkan hasil.
"Merekalah harapan untuk meneruskan kesinambungan puisi tanah air dan kepimpinan Pemuisi pada masa depan," ujarnya.
Orang ramai termasuk pencinta sastera dan pemuisi tanah air dijemput hadir memeriahkan acara berprestij ini yang turut disiarkan secara langsung menerusi media sosial rasmi Pemuisi.
Ringkasan AI
- Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia kali keenam akan diadakan di IPG Kampus Ipoh pada 20 September
- Seramai 14 johan peringkat negeri akan bertanding dalam sayembara ini
- Sayembara bertujuan memupuk kecintaan terhadap sastera tanah air, khususnya puisi di kalangan pelajar dan generasi muda
- Bertemakan 'Puisi Harmoni dalam Kepelbagaian', menyasarkan mesej perpaduan dan semangat Malaysia Madani
- Pemenang utama akan menerima piala pusingan Seri Pemuisi Malaysia, wang tunai, piala iringan, sijil penyertaan dan hadiah buku
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
