Pelajar IPTA terjejas banjir diberi kelonggaran urusan pendaftaran

Zambry. Foto Bernama
Zambry. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diarahkan memberi kelonggaran urusan pendaftaran kepada pelajar yang terlibat dengan bencana banjir di Sabah.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, langkah itu diambil bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan peluang melanjutkan pengajian walaupun berdepan musibah.

“Kepada para pelajar bakal mahasiswa serta ibu bapa yang sedang berdepan dugaan banjir, khususnya yang bakal mendaftar masuk ke universiti awam dalam masa terdekat, janganlah bimbang atau gusar.

“Saya telah mengarahkan semua IPTA untuk memberikan kelonggaran dalam urusan pendaftaran kepada pelajar-pelajar yang terlibat dengan bencana ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menyeru pelajar terkesan agar segera menghubungi universiti masing-masing bagi memaklumkan keadaan sebenar supaya bantuan dapat disalurkan.

Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Majlis Kesukarelawanan Siswa Universiti Malaysia (Maskum) serta pasukan kesukarelawan IPTA akan digerakkan untuk membantu kerja-kerja di kawasan terjejas termasuk sokongan logistik, bantuan komuniti dan pemulihan pasca banjir.

Zambry turut menzahirkan doa agar banjir segera surut dan keadaan kembali pulih seperti sediakala.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah berkurangan kepada 2,602 orang daripada 806 keluarga pagi Jumaat berbanding 3,325 orang daripada 964 keluarga petang Khamis.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Semua IPTA diarahkan memberi kelonggaran pendaftaran kepada pelajar terjejas banjir Sabah
  • Langkah ini untuk memastikan pelajar tidak terlepas peluang melanjutkan pengajian
  • Pelajar terkesan diminta segera hubungi universiti untuk maklumkan keadaan
  • KPT dan Maskum serta sukarelawan digerakkan bantu kerja pemulihan di kawasan terjejas
  • Jumlah mangsa banjir di Sabah berkurangan dari 3,325 orang ke 2,602 orang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!