54 pekerja asing ditahan, tiga pusat urut diserbu

Antara pekerja asing yang ditahan JIM dalam satu operasi khas di tiga premis urut dan refleksologi di Johor Bahru pada Rabu.
Antara pekerja asing yang ditahan JIM dalam satu operasi khas di tiga premis urut dan refleksologi di Johor Bahru pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seramai 54 pekerja warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas yang dijalankan di tiga premis urut dan refleksologi, di sini pada Rabu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam serbuan tersebut, tiga lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis turut diberkas.

"Pemeriksaan mendapati selain menawarkan urutan dan refleksologi, sebuah daripada premis berkenaan turut menyediakan bilik sauna dengan bayaran mencecah RM300 bagi setiap pakej, manakala pakej biasa dikenakan antara RM92 hingga RM180," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Zakaria berkata, operasi yang bermula jam 6 petang itu melibatkan 47 pegawai dan anggota penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan Putrajaya serta Johor.

"Hasil pemeriksaan mendapati 115 individu berada di dalam premis terbabit dengan 54 daripadanya pekerja warga asing berusia antara 19 hingga 59 tahun.

“Mereka terdiri daripada seorang lelaki Indonesia, lima lelaki Myanmar, dua lelaki Bangladesh, seorang lelaki China, 32 wanita Thailand, seorang wanita Myanmar, seorang wanita Vietnam, seorang wanita Laos dan lapan wanita China,” katanya.

Menurutnya, semua individu ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.

"Sepanjang pemeriksaan, sebanyak 15 Borang 29 atau saman kepada saksi dikeluarkan bagi membantu siasatan.

Zakaria turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan bersama-sama mengambil berat terhadap isu warga asing.

Artikel Berkaitan:

"JIM mengalu-alukan sebarang maklumat berkaitan kesalahan melindungi pendatang asing tanpa izin, pemerdagangan orang dan penyeludupan migran ke negara ini," katanya.

Ringkasan AI

  • Seramai 54 pekerja warga asing ditahan dalam operasi khas di Johor Bahru
  • Tiga lelaki tempatan yang dipercayai penjaga premis turut diberkas
  • Operasi melibatkan 47 pegawai dan anggota penguat kuasa
  • Pekerja warga asing terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, China, Thailand, Vietnam, dan Laos
  • Semua individu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!