Pesawat MH102 dilencongkan ke Bangkok akibat kecemasan kesihatan penumpang - MAG

KUALA LUMPUR - Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan bahawa penerbangan Malaysia Airlines MH102 telah dilencongkan ke Bangkok, Thailand akibat kecemasan kesihatan melibatkan seorang penumpang.
Pesawat jenis Boeing 737-8H6 dengan nombor pendaftaran 9M-MLN itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Dhaka, Bangladesh sebelum mengubah laluan ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok.
MAG ketika dihubungi Awani menjelaskan, pesawat berkenaan berlepas dari KLIA jam 9.53 pagi pada Khamis dan selamat mendarat di Bangkok kira-kira dua jam kemudian.
"Pesawat berlepas semula dari Bangkok pada jam 1.29 tengah hari (waktu tempatan) dan dijadualkan tiba di Dhaka sekitar jam 4.49 petang waktu Malaysia," katanya.
Terdahulu, Awani melaporkan pesawat Boeing 737-800 dengan nombor pendaftaran 9M-MLN itu sedang terbang pada ketinggian 36,000 kaki di ruang udara Myanmar apabila kru mengisytiharkan kecemasan. - Awani
Ringkasan AI
- Pesawat MH102 dilencongkan ke Bangkok akibat kecemasan kesihatan penumpang
- Pesawat dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Dhaka sebelum mengubah laluan
- Berlepas dari KLIA pada jam 9.53 pagi dan mendarat di Bangkok dua jam kemudian
- Berlepas semula dari Bangkok pukul 1:29 tengah hari dan dijadual tiba di Dhaka jam 4.49 petang
- Kecemasan diisytiharkan semasa pesawat terbang di ruang udara Myanmar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
