Kawalan, penguatkuasaan penyelesaian selamat daripada haramkan vape

Gagasan Belia gesa kawalan ketat lebih berkesan daripada pengharaman vape, tekankan risiko pasaran gelap, kesan ekonomi dan implikasi kesihatan belia. - Gambar hiasan
Gagasan Belia gesa kawalan ketat lebih berkesan daripada pengharaman vape, tekankan risiko pasaran gelap, kesan ekonomi dan implikasi kesihatan belia. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Pengawalan dan penguatkuasaan tegas dilihat lebih efektif berbanding pengharaman sepenuhnya penjualan rokok elektronik atau vape.

Gagasan Belia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pengawalan pintar dengan mewajibkan ujian makmal serta kebenaran SIRIM dan Kementerian Kesihatan merupakan penyelesaian yang lebih selamat.

“Pakar perundingan dasar menekankan bahawa pengharaman vape akan memaksa industri produk itu ke sektor gelap dan membanjiri pasaran dengan produk bahaya tanpa kawalan.

“Ia sekali gus menghapuskan peluang bagi pengawalan, pencukaian dan pemeriksaan keselamatan, malah memustahilkan kawalan terhadap produk-produk yang dapat diakses pengguna, terutamanya golongan muda,” katanya di sini pada Rabu.

Terdahulu, sesi meja bulat yang dianjurkan Gagasan Belia telah menghimpunkan peserta antaranya ahli Parlimen, pakar akademik dan kesihatan memfokuskan isu pengharaman vape di Kuala Lumpur, Khamis minggu lalu.

Menurut kenyataan itu, seramai 40,000 rakyat bekerja dalam industri vape dan pengharaman secara mendadak akan membahayakan sumber rezeki mereka.

“Persatuan Peruncit Vape merujuk kepada pengalaman di Australia, apabila pengharaman vape menyebabkan peningkatan penjualan haram sebanyak 90 peratus dan kehilangan kutipan cukai kerajaan.

“Malah, pakar kesihatan awam menekankan bahawa meskipun vape mempunyai risiko tersendiri, bukti kajian konsisten menunjukkan risikonya lebih rendah berbanding rokok tradisional.

“Mereka turut merujuk kepada kejayaan negara-negara seperti Jepun dan Sweden, apabila alternatif terkawal seperti tembakau dipanaskan dan snus berjaya mengurangkan kadar merokok secara drastik serta menurunkan risiko barah dan penyakit kardiovaskular,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas kenyataan itu, pengawalan dan ujian makmal adalah kunci bagi mengurangkan kemudaratan, terutamanya apabila wujud produk haram yang bercampur dadah serta memerlukan penguatkuasaan bersasar.

“Peserta juga menyatakan bahawa pengharaman produk vape boleh merencat proses pengurangan kemudaratan dan memaksa golongan perokok kembali kepada rokok konvensional.

“Mereka turut mempersoalkan ketidakselarasan pengharaman vape tetapi pada masa sama membenarkan penjualan rokok.

“Amaran turut diberikan bahawa pengharaman tersebut boleh mendorong golongan belia memberontak dengan menggunakan vape, sebagaimana pola di Singapura dan Amerika Syarikat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengharaman secara menyeluruh akan membahayakan kesihatan awam, melemahkan penguatkuasaan, merosakkan ekonomi dan gagal melindungi golongan belia.

Ringkasan AI

  • Pengawalan dan penguatkuasaan tegas pada penjualan rokok elektronik atau vape lebih efektif daripada pengharaman sepenuhnya
  • Pengharaman vape akan mendorong industri ke sektor gelap, membanjiri pasaran dengan produk bahaya tanpa kawalan
  • Pengharaman mendadak vape membahayakan sumber rezeki 40,000 rakyat yang bekerja dalam industri ini
  • Pakar kesihatan awam menyatakan vape memiliki risiko lebih rendah berbanding rokok tradisional
  • Pengharaman vape boleh merencat proses pengurangan kemudaratan dan mendorong perokok kembali kepada rokok konvensional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!