Waris mangsa nahas bas Gerik terima sumbangan RM420,000 daripada UPSI

IPOH - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan sumbangan berjumlah RM420,000 kepada waris 42 pelajar yang terbabit dalam nahas bas di Gerik pada 9 Jun lepas.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, setiap waris mangsa yang terkorban dan cedera menerima sumbangan sebanyak RM10,000 menerusi Tabung UPSI Prihatin Gerik.
"Tabung UPSI Prihatin Gerik diwujudkan bertujuan mengumpul dana khas untuk membantu mangsa dan waris tragedi berkenaan, sebagai simbol solidariti universiti dan komuniti terhadap keluarga pelajar terlibat.
"Sebelum ini sebanyak RM1.7 juta telah dihulurkan hasil sumbangan pelbagai pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, sumbangan berkenaan diserahkan pada satu majlis yang berlangsung di Pasir Puteh, Kelantan, semalam dengan dihadiri lebih 100 ahli keluarga, pelajar serta waris mangsa.
Norkhalid berkata, sumbangan itu melambangkan keprihatinan seluruh warga UPSI terhadap keluarga pelajar yang terkesan dengan tragedi berkenaan.
"Saya terharu dengan ketabahan ahli keluarga serta pelajar yang terus kuat menghadapi situasi sukar akibat tragedi yang menyayat hati kita semua.
"Diharapkan sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka, selain memberi semangat kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi 9 Jun lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV). - Bernama
Ringkasan AI
- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyampaikan sumbangan RM420,000 kepada waris 42 pelajar terlibat dalam nahas bas
- Setiap waris mangsa nahas bas di Gerik pada 9 Jun terima RM10,000
- Tabung UPSI Prihatin Gerik diwujudkan untuk kumpul dana bantu mangsa dan waris
- Sebelum ini RM1.7 juta telah dihulurkan hasil sumbangan pelbagai pihak
- 15 penuntut UPSI maut, 33 cedera dalam kemalangan bas yang membawa mereka dari Jertih ke Tanjong Malim pada awal pagi 9 Jun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
