Ayob Khan tunjuk skil tebar roti canai di Sibu

SHAH ALAM – Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mencuri perhatian pengguna media sosial apabila mempamerkan kemahiran menebar roti canai ketika bercuti bersama isterinya di Sibu, Sarawak pada Isnin.
Menerusi hantaran di halaman Facebook peribadi, Ayob berkongsi pengalaman itu ketika singgah makan di sebuah restoran di Terminal Bas Sibu pada malam 15 September lalu.
Beliau pada awalnya hanya mahu menjamu selera, namun selepas melihat cara pekerja restoran menebar roti canai yang dianggap tidak menepati cita rasanya, beliau tampil mengambil alih tugas berkenaan.
"Saya dan isteri bercuti dua hari di Sibu, Sarawak. Malam tadi pergi nak makan roti canai di Curry House Sibu Bus Terminal, tapi melihat cara mamak yang tebar roti canai tu tak memenuhi cita rasa saya.
"Saya ambil alih tugas beliau, tebar tujuh biji roti canai untuk kami makan. Sekali-sekala kena asah bakat juga... dah nak pencen ni,” tulisnya.
Video aksi santai itu memaparkan Ayob menebar roti canai dengan penuh yakin sebelum disajikan kepada keluarganya.
Hantaran tersebut menjadi tular dan meraih ribuan tanda suka, komen serta perkongsian daripada orang ramai yang kagum dengan bakat beliau.
Rata-rata pengguna media sosial memuji sikap rendah diri Ayob yang tidak kekok mencuba sesuatu di luar bidang tugasnya sebagai pegawai tinggi polis.
Momen santai itu turut menampilkan sisi berbeza figura berprofil tinggi tersebut, yang sebelum ini lebih dikenali dengan ketegasan dalam tugas membanteras jenayah dan menjaga keselamatan negara.
Fenomena tular itu sekali gus memperlihatkan sisi mesra seorang pegawai tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mudah didekati walaupun memegang jawatan penting dalam pasukan keselamatan.
Ringkasan AI
- Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, mempamerkan kemahiran menebar roti canai sewaktu bercuti di Sibu, Sarawak
- Dia berkongsi pengalaman tersebut di Facebook setelah singgah makan di sebuah restoran di Terminal Bas Sibu
- Ayob mengambil alih tugas menebar roti canai daripada pekerja restoran kerana cara pekerja tersebut tidak menepati cita rasanya
- Video Ayob menebar roti canai menjadi tular dan meraih ribuan tanda suka dan komen dari orang ramai
- Kejadian ini menunjukkan sisi berbeza dan mesra seorang pegawai tinggi PDRM yang mudah didekati
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

