Zambry pastikan pelajar yatim dapat sambung belajar di USIM

Laporan Sinar Harian pada 14 September berhubung rayuan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra yang memohon bantuan untuk merealisasikan impian penghuninya, Muhammad Firdaus menjejakkan kaki ke menara gading. Gambar kecil: Zambry
Laporan Sinar Harian pada 14 September berhubung rayuan Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra yang memohon bantuan untuk merealisasikan impian penghuninya, Muhammad Firdaus menjejakkan kaki ke menara gading. Gambar kecil: Zambry
A
A
A

SHAH ALAM – Bantuan segera akan diberikan kepada seorang pelajar, Muhammad Firdaus Abdullah, 19, bagi memastikannya dapat mendaftar dan meneruskan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Yayasan Perkasa Siswa (YPS) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama USIM akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu pelajar berkenaan.

Menurut beliau, Muhammad Firdaus telah menerima tawaran mengikuti pengajian Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah di USIM.

“Bagaimanapun, pelajar terbabit berdepan cabaran apabila bapanya sudah meninggal dunia, manakala ibunya ditempatkan di sebuah pusat jagaan akibat masalah kesihatan.

“Justeru, saya telah meminta pegawai saya untuk terus berhubung dengan penjaga Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada Ahad, sebuah pertubuhan anak yatim dilaporkan merayu orang ramai merealisasikan impian salah seorang penghuninya, Muhammad Firdaus untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

Bendahari Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra, Mohd Nurfarhan Sobri berkata, sumbangan diperlukan bagi membantu Muhammad Firdaus menyediakan kelengkapan pengajian sebelum mendaftar di USIM pada 24 September depan.

Terdahulu, USIM turut memaklumkan akan membantu Muhammad Firdaus melalui Pusat Wakaf dan Zakat USIM termasuk penyediaan kelengkapan pengajian, pengangkutan, penempatan serta yuran pendaftaran.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Muhammad Firdaus Abdullah akan dibantu untuk mendaftar dan meneruskan pengajian di USIM
  • Yayasan Perkasa Siswa KPT bersama USIM akan mengambil tindakan membantu
  • Muhammad Firdaus terima tawaran pengajian Sarjana Muda Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah
  • Berdepan cabaran ekonomi selepas kematian bapa dan ibu ditempatkan di pusat jagaan
  • USIM melalui Pusat Wakaf dan Zakat membantu termasuk kelengkapan pengajian dan yuran pendaftaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!