'Isteri syurga' panggilan manja buat Amira' - Fattah Amin

PELAKON popular, Fattah Amin dengan tersipu malu mendedahkan 'isteri syurga' adalah nama panggilan manja buat isterinya yang juga penyanyi, Amira Othman.
Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, sebelum sah bergelar suami pernah berkongsi bahawa dia memang sering memanggil Amira sebagai ‘bakal isteri syurga’ kerana yakin bahawa setiap tutur kata akan menjadi doa buat pelantun lagu Hati-Hati itu.
“Sebelum ini, saya suka panggil dia bakal isteri syurga. Sekarang, isteri syurga pula.

“Kita jadikan itu satu doa,” katanya ringkas ketika ditemu bual pengacara majlis, Sissy Imann dan Awal Ashaari sebaik selesai diijabkabulkan pada Ahad.
Sementara itu, Amira turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kebaikan buat dirinya dan suami.
“Terima kasih kepada semua yang meraikan saya dan Fattah serta doa baik-baik untuk kami. Semoga doa itu akan berbalik juga kepada anda,” ujar wanita itu penuh sopan-santun.
Fattah sah bergelar suami kepada Amira dengan sekali lafaz dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort Sepang, Selangor.
Majlis akad nikah yang disempurnakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri itu dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat.

Mengangkat tema Islamik al-Zauj yang membawa maksud 'dua jiwa dipertemukan oleh ALLAH', majlis tersebut mengetengahkan suasana senja dengan konsep sederhana namun sarat makna, selari hasrat kedua-dua mempelai untuk menjadikan hari istimewa mereka sebagai simbol penyatuan penuh keberkatan.
Menambah keistimewaan, pernikahan malam tersebut turut diadakan sempena ulang tahun kelahiran Fattah sendiri iaitu 14 September.
Tarikh bersejarah itu dipilih oleh Amira yang menyifatkan perkahwinan mereka sebagai hadiah paling bermakna buat sang suami.

Dalam majlis berkenaan, Fattah menyerahkan mas kahwin seutas gelang emas tunai bersama lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Ringkasan AI
- Pelakon popular, Fattah Amin, telah memberikan gelaran 'isteri syurga' kepada isterinya, penyanyi Amira Othman
- Fattah yakin panggilan tersebut sebagai doa bagi Amira
- Amira mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas doa dan sokongan mereka
- Fattah dan Amira sah berkahwin dengan sekali lafaz di Golden Palm Tree Resort Sepang, Selangor
- Majlis pernikahan tersebut dihadiri oleh kira-kira 200 tetamu dan berlangsung pada tarikh ulang tahun Fattah, 14 September
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

