Nepal alami kerugian bilion ringgit akibat protes

KATHMANDU- Nepal yang biasanya rancak dengan kedatangan pelancong pada musim luruh kini suram selepas kebangkitan Generasi Z mencetuskan rusuhan besar-besaran sehingga menjejaskan sektor ekonomi, politik dan sosial negara itu.
Bandar popular seperti Thamel, Durbar Square, Pokhara, Bhairahawa dan Chitwan lengang, dengan hotel terbakar, kenderaan hangus serta perniagaan ditutup.Protes antikerajaan itu menakutkan pelancong asing serta pelabur luar.
Ahli ekonomi tempatan menganggarkan jumlah kerugian mencecah sehingga 3 trilion rupee (RM89.4 bilion), hampir separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.
Syarikat besar turut menjadi mangsa. Supermarket Bhat-Bhateni melaporkan 21 daripada 28 cawangan rosak teruk, dengan tuntutan insurans melebihi 2.5 bilion rupee(RM74.5 juta).
Chaudhary Group dan syarikat telekomunikasi Ncell juga berdepan kemusnahan besar akibat serangan dan kebakaran.
Sektor perhotelan pula kehilangan hampir 25 bilion rupee (RM745 juta), manakala peniaga automotif menanggung kerugian kira-kira 15 bilion rupee (RM447 juta).
Persatuan Hotel Nepal turut mengesahkan lebih dua dozen hotel di Lembah Kathmandu, Pokhara, Bhairahawa dan beberapa bandar lain musnah. Kemusnahan ini menyebabkan kira-kira 2,000 pekerja hilang mata pencarian, dengan kos keseluruhan kerosakan harta hotel sahaja dianggarkan lebih 8 bilion rupee (RM238 juta).
Walaupun cabaran besar, tokoh industri dan usahawan tempatan menyatakan tekad untuk bangkit semula.
“Sejarah tidak akan mengingati api, tetapi bagaimana kita muncul bersatu,” kata pengarah urusan Chaudhary Group,Nirvana Chaudhary. -Agensi
Ringkasan AI
- Nepal suram akibat rusuhan besar-besaran oleh Generasi Z yang menjejaskan sektor ekonomi, politik dan sosial
- Bandar-bandar popular lengang dengan hotel, kenderaan dan perniagaan rusak
- Kerugian ekonomi dianggarkan mencecah 3 trilion rupee, hampir separuh daripada KDNK Nepal
- Sektor perhotelan dan automotif mengalami kerugian besar, dengan harta hotel sahaja rosak lebih 8 bilion rupee
- Pihak industri dan usahawan tempatan tekad untuk bangkit semula selepas kerugian besar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

