Curi kabel: Polis buru empat lelaki warga Indonesia

JOHOR BAHRU - Polis buru empat lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam kejadian mencuri kabel di Taman Desa Jaya di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video mengenai kejadian tersebut yang tular di media sosial.
"Video selama satu minit itu merakamkan empat lelaki dipercayai warga Indonesia sedang memotong dan memasukkan kabel ke dalam sebuah kereta jenis Kia Naza.
"Kejadian tersebut bagaimanapun disedari pemilik kedai makan di kawasan berkenaan yang ketika itu baru mahu memasak untuk memulakan perniagaan.
"Pemilik kedai yang merupakan lelaki warga tempatan berusia 50 tahun kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mohd Sohaimi berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 5 pagi, bagaimanapun semakan nombor pendaftaran kereta yang digunakan mendapati tiada rekod dikehendaki dan kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita warga asing.
"Usaha mengesan pemilik kereta tersebut giat dijalankan dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali.
"Kita juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai yang mengetahui kejadian tersebut untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Hassan di talian 011-5120899 atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam di talian 07-3871422 atau hotline 07-3861422," katanya.
Ringkasan AI
- Polis buru empat lelaki warga asing terlibat mencuri kabel di Taman Desa Jaya, Johor Bahru
- Kejadian dirakam video yang tular di media sosial, empat lelaki didakwa warga Indonesia
- Pemilik kedai makan disedari aksi mencuri tersebut sebelum memulakan perniagaan
- Nombor pendaftaran kereta pemilik wanita asing, tiada rekod dikehendaki
- Siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, pelaku boleh dipenjara atau denda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
