Fahmi cadang syarat kelayakan STR diteliti semula

BUKIT MERTAJAM - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mencadangkan supaya syarat kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diteliti semula, agar penerima yang menikmati kenaikan gaji, masih layak menerima bantuan itu.
Fahmi berkata, walaupun pendapatan sebahagian individu meningkat, mereka masih memerlukan sokongan berterusan daripada kerajaan.
"Saya ambil maklum ada dalam kalangan penerima yang sebelum ini menerima STR tetapi apabila mereka bekerja dan mendapat kenaikan gaji, kelayakan mereka terhenti. Jadi, had kelayakan STR itu wajar diteliti semula.
"… mungkin saya nak cadangkan kepada Kementerian Kewangan untuk menilai perkara ini memandangkan kita menyaksikan ada kenaikan gaji,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi beberapa keluarga menerusi program Ziarah Kasih Komuniti MADANI di Kubang Semang, di sini pada Ahad.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan.
Terdahulu, Fahmi menziarahi remaja Orang Kurang Upaya (OKU), Arnisya Roslan, 14, serta Yusnizam Mohammed Yusop, 42, yang menghidap penyakit kencing manis, menerusi program Ziarah Kasih Komuniti Madani, iaitu inisiatif kerajaan bagi menyantuni golongan memerlukan dan memahami permasalahan yang dihadapi. - Bernama
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mencadangkan syarat kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah diteliti semula
- Penerima yang menikmati kenaikan gaji masih perlu sokongan berterusan daripada kerajaan
- Ada penerima STR kehilangan kelayakan selepas mendapat kenaikan gaji
- Cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk menilai semula had kelayakan STR
- Fahmi melakukan ziarah kasih bersama timbalan dan pegawai Kementerian Komunikasi kepada golongan memerlukan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
