'MIC belum bertunang, baru merisik' - Tuan Ibrahim

SUNGAI PETANI - “MIC belum ‘bertunang’ lagi, baru merisik khabar. Kalau hantar pinangan, Insya-ALLAH, kita akan balas.”
Demikian jawapan spontan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man apabila ditanya media sama ada kedudukan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) akan terjejas seandainya MIC menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Tak ada masalah, kita mengalu-alukan semua pihak. Bagi kami, walaupun Pas ada DHPP, anak kita dalam Pas, MIC diterima sama seperti MIPP (Parti Rakyat India Malaysia) yang ramai ahlinya daripada masyarakat India. Bagi kita tak apa, yang penting kita duduk, bincang, rumus dan ambil pelan tindak bersama atas nama PN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Konvensyen DHPP di sini pada Sabtu.
Tuan Ibrahim berkata, tidak timbul sebarang isu sekiranya parti MIC menyertai PN malah meraikan penyertaan parti India dalam gabungan berkenaan.
“Jadi tak timbul masalah, ada tempat-tempat tertentu yang kita perlu calon daripada India... tempat tertentu mungkin kaum Cina perlu kita ketengahkan atas nama PN.
“Apa pun, sikap kami terbuka dengan penyertaan mana-mana parti politik atau NGO untuk bersama,” katanya.
Sementara itu, Ketua DHPP Pusat, N Balasubramaniam berkata, pihaknya akan menerima apa jua keputusan kepimpinan Pas termasuk penyertaan MIC ke dalam PN.
“Kita terima sahaja kalau MIC menyertai gabungan PN untuk berjuang membentuk kerajaan baharu dalam pilihan raya nanti,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, DHPP akur sekiranya berlaku pemilihan calon dan pembahagian kerusi yang diputuskan Pas pada pilihan raya akan datang.
“Jika dalam pilihan raya nanti Pas buat keputusan untuk beri kerusi atau tidak kepada DHPP, kita akan terima dan tetap sokong perjuangan Pas,” katanya.
Ringkasan AI
- MIC belum 'bertunang' dengan Pas, masih dalam peringkat merisik
- Pas mengalu-alukan semua pihak termasuk MIC untuk menyertai Perikatan Nasional
- Pas meraikan penyertaan parti India dalam gabungan dan terbuka dengan penyertaan mana-mana parti politik atau NGO
- Ketua DHPP Pusat, N Balasubramaniam, akan menerima keputusan Pas termasuk penyertaan MIC ke dalam PN
- DHPP akur dengan sebarang keputusan Pas mengenai pemilihan calon dan pembahagian kerusi dalam pilihan raya akan datang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


