Pas dedah ada parti komponen BN mohon sertai PN

ALOR SETAR – Pas tidak menolak kemungkinan terdapat parti daripada komponen Barisan Nasional (BN) yang telah menghantar permohonan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat PN, namun parti terbabit belum boleh didedahkan sehingga keputusan rasmi dibuat.
“Itu masih rahsia lagi (permohonan dari parti komponen BN). Biar dulu sehingga kita isytihar,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-66 di Kompleks Pas Kedah di sini pada Jumaat.
Menurutnya, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut memaklumkan bahawa beberapa parti sudah menyatakan minat sama ada untuk menjadi ahli penuh ataupun sekadar rakan PN.
“Sebelum pilihan raya lalu ada permohonan, selepas pilihan raya baru-baru ini pun ada parti baharu yang hantar. Setakat ini, kita terima banyak permohonan dan akan teliti satu persatu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, PN mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama dalam perjuangan gabungan itu.
Mengulas mengenai jemputan parti-parti ke Muktamar Pas Pusat, Tuan Ibrahim berkata, semua parti dijemput termasuk MIC, namun UMNO tidak disenaraikan.
Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, MIC telah menerima undangan rasmi untuk hadir ke Muktamar namun dimaklumkan bahawa wakil parti itu tidak dapat hadir.
“Mungkin wakil yang kita jemput itu dihalang untuk hadir, jadi dia tak dapat hadir. Saya tak pasti. Saya harap dia tidak dihalang untuk hadir. Mungkin ada orang nasihat dia supaya jangan hadir,” ujarnya.
Menurutnya, jemputan telah dihantar kepada MIC Pusat termasuk kepada Timbalan Ketua Pemuda MIC.
Ringkasan AI
- Pas tidak menolak kemungkinan ada parti komponen BN yang minta sertai PN
- Perkara ini dibincang dalam mesyuarat PN tapi parti terbabit belum boleh didedahkan
- Beberapa parti sudah menyatakan minat untuk jadi ahli penuh atau rakan PN
- PN terima banyak permohonan dari parti-politi dan NGO untuk bersama dalam perjuangan
- Semua parti termasuk MIC dijemput ke Muktamar Pas Pusat tapi UMNO tidak disenaraikan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

