Tuan Ibrahim tolak cadangan jadi calon PM

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

YAN – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak cadangan Dewan Pemuda Pas yang mencalonkan namanya sebagai calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, Pas mempunyai ramai tokoh lain yang lebih layak dan berwibawa untuk diberi peluang menerajui negara.

“Ramai lagi calon lain. Dalam Pas, ramai tokoh yang hebat-hebat, jauh lebih hebat daripada saya.

“Mereka ini sebenarnya kalau diberi peluang, insya-ALLAHrakyat akan nampak kejayaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen As Sabiqun Pas Pusat di Guar Chempedak di sini pada Sabtu.

Tuan Ibrahim turut memberi contoh kejayaan tokoh Pas yang diberi kepercayaan sebelum ini, antaranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Sebelum ini, Sanusi bukanlah tokoh yang dikenali dalam konteks politik Malaysia. Dia dulu Setiausaha Politik Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak (bekas Menteri Besar Kedah), tapi bila kita letak (Sanusi) sebagai Menteri Besar, tengoklah bagaimana pencapaiannya.

“Sama juga dengan Dr Samsuri, siapa kenal dia sebelum ini? Tapi bila diberi peluang, kita nampak dia berjaya,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, beliau lebih selesa melihat tokoh lain dalam parti itu ditonjolkan terlebih dahulu.

“Tokoh lainlah, bukan saya. Profesional pun ada, pelbagai bidang pun ada. Dalam Pas, ramai tokoh hebat. Pemuda Pas saja bergurau, nanti kita bincang semula dengan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Tuan Ibrahim sebagai calon utama Perdana Menteri PN sekiranya gabungan itu diberi mandat memimpin negara.

Afnan menyifatkan Tuan Ibrahim sebagai tokoh berpengalaman dan mempunyai keupayaan untuk menerajui negara.

Beliau turut menyenaraikan beberapa nama lain daripada Pas yang dilihat berpotensi, termasuk Muhammad Sanusi; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad serta Ahmad Samsuri.

Ringkasan AI

  • Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, menolak cadangan Dewan Pemuda Pas untuk menjadi calon Perdana Menteri dari Perikatan Nasional
  • Beliau berpendapat Pas mempunyai banyak tokoh lain yang lebih layak dan berwibawa
  • Tuan Ibrahim memberi contoh kejayaan tokoh Pas seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
  • Beliau lebih selesa melihat tokoh lain dalam Pas diberi peluang untuk ditonjolkan
  • Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib Azamudden, sebelum ini mencadangkan Tuan Ibrahim sebagai calon utama Perdana Menteri dari Perikatan Nasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!